Bazar Desa Pandan: Capai kata sepakat, buka laluan khemah DBKL

Bazar Desa Pandan: Capai kata sepakat, buka laluan khemah DBKL

Hasil perbincangan tertutup di antara Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun dan Persatuan Penjaja Bazar Desa Pandan, hari ini telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan isu kemelut Bazar berkenaan.

Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Abdullah, berkata, melalui perbincangan itu, pihaknya telah bersetuju membuka laluan kepada pengunjung ke lokasi peniaga yang berdaftar secara atas talian.

“Tidak ada lagi sekatan yang dilakukan supaya semua pihak boleh berniaga dan memasarkan juadah mereka di bazar ini. Kami dah maklumkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggabungkan khemah DBKL dan khemah Persatuan.

“In shaa Allah tahun hadapan kita akan duduk dan beri pandangan bersama dengan DBKL supaya boleh rancang bazar Ramadan dengan lebih awal,”katanya.

Tambahnya, apabila Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, membuat keputusan untuk meluluskan tapak tradisi ini diberi kepada persatuan, maka pihaknya menyambut baik untuk membuka bazar.

“Jadi, ada berlaku sikit masalah pertindihan (tapak) ini, tapi boleh dirunding sebenarnya,”ujarnya.

Sementara itu, Ketua Persatuan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan Cawangan Kampung Pandan, Mohd Sharif Hashim berkata, setakat ini pihaknya juga akan memberi kerjasama untuk kebaikan di pihak peniaga yang berdaftar secara talian.

“Kita tak bergaduh dengan peniaga di sana kerana masing-masing mempunyai pelanggan, dan sekarang menunggu pihak pengurusan DBKL untuk menguruskan penyambungan khemah,” ujarnya.

Semalam Pegawai Tugas-tugas Khas II kepada Menteri Wilayah, Zulhazmi Shariff menjelaskan, permohonan tapak bazar ramadan secara atas talian sebenarnya bukan untuk semua tapak, tetapi hanya kepada tapak bazar Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) yang kini dipindahkan ke Jalan Raja.

Katanya, disebabkan salah faham itu, Persatuan Peniaga Desa Pandan mula tidak berpuashati  kerana sebelum ini mereka merupakan penganjur kepada tapak perniagaan bazar ramadan.

Baca: Salah faham peniaga dan DBKL?