Malaysia Dateline

Bazar Peduli Rakyat peringkat Terengganu dilancarkan

Tiga agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) hari ini melancarkan Bazar Peduli Rakyat Peringkat Terengganu yang menyasarkan penurunan harga produk pertanian di mana ia bakal diperluas ke seluruh negara.

Bazar tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil; Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Ishak Ismail; dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Aliman.

Menurut Faiz, bazar tersebut adalah sinergi tiga agensi untuk merangsang ekonomi rakyat dengan menjadikannya pusat pengumpulan dan penjualan produk agro-makanan hasil usahawan tempatan bagi menyediakan akses pemasaran untuk memasarkan terus produk mereka.

“Dengan adanya Bazar Peduli Rakyat ini, ia mampu mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan penurunan harga barang dapur di mana harga barang dapat dibeli dengan diskaun lima hingga 30 peratus.

“Ini kerana rantaian bekalan telah dipendekkan dan produk dapat dijual secara terus daripada pengeluar kepada pengguna.

“Saya turut melelong hasil laut seperti ikan kerapu, kembung, siakap, Q-fish, sotong dan bermacam lagi sebagai tanda peduli kerajaan PH kepada rakyat yang mahukan harga barang yang lebih berpatutan,” katanya.

Bazar Peduli Rakyat ini merupakan hasil hala tuju pertama dan kelima Datuk Salahuddin Ayub.

Sementara itu, Faiz yang juga Timbalan Pemuda AMANAH berkata, satu pusat jualan untuk Amanah Terengganu turut disediakan bagi memberi peluang perniagaan kepada ahli Amanah yang diuruskan Wanita Muda AMANAH (Warda).

Beliau berkata, seramai 50 asnaf menerima sumbangan barang dapur oleh Yayasan Prihatin Insan (YPI) bagi meringankan beban hidup mereka.

Turut hadir Naib Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Zamir Ghazali dan Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan.

Faiz merasmikan Bazar Peduli Rakyat Peringkat Terengganu hari ini.