Malaysia Dateline

Bazar Peduli Rakyat terus dapat sambutan, berjaya rangsang ekonomi rakyat

Faiz semasa program Bazar Peduli Rakyat di Kampung Pelet, Permatang Pasir.

Bazar Peduli Rakyat akan tetap diteruskan pada tahun hadapan setelah ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari pelbagai golongan masyarakat.

Menurut Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil, program jualan murah ini diadakan bagi mengangkat agenda kebajikan rakyat dengan menawarkan pelbagai barangan dapur.

Jelasnya lagi, ia turut meliputi beras, sayur-sayuran, bawang, ikan, ayam dan pelbagai lagi dengan harga yang lebih murah dan diskaun antara lima hingga tiga puluh peratus.

“Harga barangan dapat dijual kerana konsep Bazar Peduli Rakyat memendekkan rantaian bekalan apabila usahawan menjual terus produk pertanian mereka kepada pengguna.

Faiz turut mengambil bahagian dalam program Bazar Peduli Rakyat di Permatang Pasir.

“Melalui usaha ini, ia menjadi medium pemasaran kepada usahawan kecil dan sederhana kerana mereka boleh memasarkan produk pengeluaran mereka di bazar ini yang memfokuskan peluang kepada usahawan tempatan.

“Program seumpama ini akan diteruskan di Dun Permatang Pasir kerana ia terbukti mampu untuk membantu penduduk mendapatkan barangan yang lebih murah dan berkualiti,” ujarnya.

Malah kata Faiz, sehingga bulan November 2019, hasil jualan di kawasan tersebut paling tinggi iaitu RM137,477.

Manakala hasil jualan ini juga dijangka mampu mencecah lebih RM140,000 setelah dikira jualan pada hari tersebut.

Tambah beliau, program Bazar Peduli Rakyat diadakan di Kampung Pelet, Permatang Pasir setiap bulan.

“Ini merupakan antara inisiatif terbaik buat penduduk yang berada dalam kawasan Permatang Pasir.

“Selain itu ia turut di meriahkan dengan sumbangan barangan keperluan dapur kepada lima puluh asnaf di kawasan tersebut.

“Kanak-kanak juga diraikan melalui peraduan mewarna yang turut diadakan bagi memeriahkan lagi program Bazar Peduli Rakyat, ” tegas Faiz.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Pengerusi FAMA, Ishak Ismail serta beberapa agensi terlibat seperti MOA, LKIM, FAMA, LPP dan Agro Bank.