Bazar Peduli Rakyat tingkat pendapatan, rangsang ekonomi rakyat, kata Adun Permatang Pasir

Bazar Peduli Rakyat tingkat pendapatan, rangsang ekonomi rakyat, kata Adun Permatang Pasir
Faiz Fadzil ketika merasmikan majlis Bazaar Peduli Rakyat di Kampung Pelet, Bukit Mertajam semalam.

Usaha bagi meningkatkan sumber pendapatan dan merangsang ekonomi usahawan tempatan merupakan salah satu agenda utama dalam program ‘Bazar Peduli Rakyat’ yang dilancarkan semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, tindakan yang diambil pada kali ini adalah juga bagi mengurangkan beban kos sara hidup dan penjimatan masa.

“Program sedemikian akan diadakan secara bulanan bagi membantu penduduk kawasan Permatang Pasir dan kawasan sekitarnya.

“Walaupun harga yang ditawarkan melalui Bazaar Peduli Rakyat ini lebih murah, aspek kualiti tetap menjadi keutamaan, ” tegas beliau lagi.

Faiz yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH turut berkata, Bazar Peduli Rakyat yang dilancarkan di PPK Kampung Pelet, Permatang Pasir akan menjadi perintis kepada program peduli rakyat tersebut. yang pertama  dilancarkan serta akan bergerak sehingga ke seluruh negara.

Tambah Faiz lagi, aspirasi rakyat mahukan suatu pembaharuan pada peringkat pengurusan harus diberi perhatian.

“Kita harus menjadi sebuah kerajaan yang mendengar dan prihatin terhadap masalah rakyat.

“Bagi merealisasikan perkara tersebut, usaha akan ditingkatkan bagi mengurangkan kos hidup yang semakin meninggi.

“Yang penting ialah bagi memastikan harga barangan tidak melonjak naik, ” katanya.

Menurut Faiz lagi, setiap agensi kerajaan mempunyai bidang yang tertentu.

Namun begitu jelasnya, kepedulian terhadap masalah dan keluhan rakyat tetap menjadi keutamaan untuk diselesaikan.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Exco Kerajaan Negeri, Dr Afif Bahardin.