Bazar ramadan Desa Pandan: Salah faham peniaga dan DBKL?

Bazar ramadan Desa Pandan: Salah faham peniaga dan DBKL?

Tapak tradisi bazar ramadan yang sedang digunakan Persatuan Peniaga Desa Pandan, sebenarnya sudah mendapat kelulusan daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pegawai Tugas-tugas Khas II kepada Menteri Wilayah, Zulhazmi Shariff menjelaskan, permohonan tapak bazar ramadan secara atas talian sebenarnya bukan untuk semua tapak, tetapi hanya kepada tapak bazar Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) yang kini dipindahkan ke Jalan Raja.

Katanya, disebabkan salah faham itu, Persatuan Peniaga Desa Pandan mula tidak berpuashati  kerana sebelum ini mereka merupakan penganjur kepada tapak perniagaan bazar ramadan.

“Persatuan perlu cari nama dan daftar secara atas talian dengan DBKL, kemudian DBKL akan mengeluarkan lesen kepada peniaga.. apa yang berlaku di Desa Pandan itu, sebelum ini DBKL dah buat urusan pendaftaran secara atas talianjadi peniaga berdaftar secara atas talian ini pun daftarlah.

“Selepas daftar, mereka ini dapatlah tapak untuk berniaga.Bila kita buat keputusan bagi balik tapak persatuan kepada persatuan, itu yang jadi punca kekecohan di bazar Desa Pandan.

“Kita sedar tidak boleh nak uruskan semua tapak dan DBKL membuat keputusan untuk menguruskan hanya 5 tapak, jadi DBKL bagi balik kepada persatuan dan persatuan peniaga memohon semula.

“Cumanya kita kata dengan persatuan peniaga ini, mereka tidak boleh jual tapak kerana perlu cari ahli dan bawa ahli untuk daftar dengan DBKL seterusnya mendapatkan lesen berniaga,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline semalam.

Baca: DBKL digesa jawab isu peniaga bazar

Dalam pada itu, Zulhazmi menjelaskan lagi, tapak peniaga berdaftar secara atas talian di Desa Pandan itu, adalah tapak yang telah digazetkan (tapak baru) oleh pihak DBKL pada sebelum ini.

Katanya, tapak berkenaan digazetkan untuk peniaga yang berdaftar secara atas talian kerana, mereka bukan ahli persatuan dan terbuka kepada semua orang.

“Tapak persatuan peniaga (tapak tradisi) itu memang sudah didaftar dan diberikan kelulusan oleh pihak DBKL.. peniaga yang daftar secara atas talian ini yang tak faham prosedur.

“Peniaga kata gerai haram dan DBKL makan rasuah.. sebenarnya perkara itu kita dah terangkan kepada mereka, pegawai yang diarahkan pun sudah pergi ke bazar sana, tetapi mereka masih lagi tak percaya,” katanya.

Jumaat lalu, sekumpulan peniaga bazar ramadan Desa Pandan yang berdaftar secara atas talian dengan pihak DBKL mendakwa mereka ditipu dan dianak tirikan oleh pihak DBKL.

Mereka berkata, kewujudan peniaga Persatuan Penjaja Desa Pandan secara tiba-tiba di tapak tradisi itu mengundang persoalan dalam kalangan mereka.

Akibat kewujudan gerai Persatuan Penjaja itu, mereka mengalami kerugian yang teruk sejak hari pertama beroperasi kerana, lokasi yang disediakan DBKL terlalu hampir dengan gerai Persatuan Peniaga.