Bazar Ramadan Jalan Raja: Perlu lebih penambahbaikan tahun hadapan, kata peniaga

Bazar Ramadan Jalan Raja:  Perlu lebih  penambahbaikan tahun hadapan, kata peniaga

Setelah tiga minggu berniaga di Bazar Ramadan Jalan Raja, rata-rata peniaga memberi maklumbalas positif disamping beberapa cadangan penambahbaikan yang perlu diberi perhatian oh pihak berkuasa tempatan seperti  Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Tinjauan Malaysia Dateline semalam mendapati kemudahan parkir menjadi perkara utama yang ditekankan oleh para peniaga yang mengatakan jika masalah parkir dapat diatasi, ia dapat meningkatkan peratusan jualan pada siang hari.

Rafiqa Rizkin

Menyentuh soal keselesaan dan keluasan tapak, para peniaga menunjukkan reaksi berpuas hati namun tinjauan mendapati keadaan agak sesak pada waktu kemuncak iaitu jam 8 malam.

Peniaga baju Raya, Rafiqa Rizqin, 29, berkata, kemudahan yang perlu diberi perhatian selain parkir untuk pengunjung adalah kemudahan pejalan kaki yang menghubungkan laluan antara dua khemah.

“Bila musim hujan macam ni, pengunjung tak dapat melintas ke khemah hadapan kerana tiada bumbung laluan untuk pejalan kaki. Kita juga kekurangan pembeli kerana masing-masing tak boleh berjalan ke khemah yang bertentangan.

“Sebetulnya perniagaan disini juga masih belum pulang modal cuma dari keselesaan dan keluasan memang semakin baik. Kami minta penghawa dingin, mereka beri.

Muhammad Afifi Che Sulaiman

“Terpulang kepada DBKL lepas ini mahu memindahkan kami ke Jalan TAR atau tidak kerana ikutkan hati memang majoriti peniaga lebih gembira di sana. Jika DBKL mahu kami disini, perlu bersedia dengan kewangan kerana banyak sudut yang masih perlu ditambahbaik,” katanya.

Bagi peniaga tudung, Muhammad Afifi Che Sulaiman, 35, beliau melihat pemindahan tapak itu sebagai usaha yang berkesan menaiktaraf imej bazar kerana secara tidak langsung telah mengurangkan kadar kecurian atau seluk saku di kawasan itu.

“Disini, saya tidak pernah dengar lagi pengunjung atau peniaga alami kes duit hilang oleh penyeluk saku. Kes toreh bag pun kami tak dengar. Dulu kawasan Jalan TAR agak gelap, memang mudah penyeluk saku buat kerja mereka. Tapi disini, tiada apa berlaku, Alhamdulillah.

“Cuma dari hasil jualan, agak kurang pada siang hari kerana faktor parkir. Bila kereta mereka asyik kena saman, mereka pun takut untuk datang. Perkara itu secara tak langsung beri kesan pada hasil jualan kerana kami terpaksa bergantung pada jualan waktu malam,”ujarnya.

Nasriah Nasrul

Sementara itu, peniaga lemang, Nasriah Nasrul, 35, berkata, beliau berharap DBKL untuk memperbanyakkan kemudahan terutama tempat solat yang perlu disediakan bukan hanya pada hujung minggu sahaja, disamping keperluan menyediakan parkir yang banyak

“Jika mereka sediakan parkir, saya kira masalah kita boleh selesai. Siang dan malam akan ramai pengunjung. Jika diminta perbandingan, sudah semestinya Jalan TAR bagi pulangan hasil yang lagi baik.

“Disana saya boleh dapatkan standard RM10,000 satu hari, tetapi disini hanya RM4,000 pada hujung minggu. Saya lihat hujung-hujung nak dekat raya ni memang ramai yang datang. Cuma masih juga kurang hasilnya kerana siang tak ramai yang beli,” ujarnya.

Baca: 90 peratus peniaga pehuhi  tapak bazar

Apa kata pengunjung?

Malaysia Dateline turut menghampiri beberapa pengunjung yang gembira dengan tapak bazar dengan suasana baharu di Jalan Raja setelah beberapa tahun berbelanja persiapan hari raya di Jalan TAR.

Imran Zuraini, 30, pengunjung yang datang dari Port Dickson, berkata, sememangnya setiap tahun beliau membeli barang raya di KL iaitu di Jalan TAR.

Sabirlah Efendi

“Kali ini nampak sikit kelainannya, memang meriah dan selesa untuk kita berjalan dan beli barang. Alhamdulillah, barang anak-anak semua selesai beli, pilihan pun banyak. Jika dibandingkan dengan dulu, bila jalan kena bersesak dan berlanggar-langgar. Tapi disini lebih baik dan saya harap tahun depan juga akan teruskan disini,”katanya.

Manakala pengunjung dari Melaka, Sabirlah Ependi, 26 berkata beliau mendapat tahu tentang bazar itu dari rakannya yang sudah lebih tiga kali membeli belah di situ sepanjang 3 minggu bazar baru itu dibuka.

“Memang meriah disini. Saya datang pun sebab kawan cadangkan tempat ini pada saya. Selesa dan sejuk, cuma sekarang waktu hujan. Jadi banjir sikit lah dalam khemah. Tapi keseluruhannya saya gembira dan puas hati untuk beli baju raya,” ujarnya.