Bazar Ramadan Jalan Raja tawar 344 petak niaga, kata Khalid

Bazar Ramadan Jalan Raja tawar 344 petak niaga, kata Khalid
Khalid Samd (tiga dari kiri) ketika melancarkan laman web rasmi Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa " Putrajaya-KL 2019, International Tug Of War Club Championship hari ini. Foto- FB Kalid Samad.

Bazar Ramadan baharu di Jalan Raja di sini menawarkan 344 petak niaga yang lebih luas dan tersusun, sekali gus memberikan keselesaan kepada peniaga dan pengunjung, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad.

Beliau berkata tapak baharu itu melibatkan tiga lorong jalan raya di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.

“Kita telah bersetuju memindahkan tapak bazar itu ke Jalan Raja. Kawasan di situ lebih luas dengan enam lorong tetapi kita khususkan hanya tiga lorong untuk peniaga manakala tiga lagi akan digunakan oleh MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) bagi program berbuka puasa pada setiap hari Sabtu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Laman web Putrajaya-KL 2019 International Tug of War Championship, di Kuala Lumpur hari ini.

Khalid ditanya mengenai persiapan tapak bazar Ramadan baharu di Jalan Raja yang menggantikan bazar di lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) / Jalan Masjid India sebelum ini.

Berhubung pengurusan tapak bazar Ramadan, Khalid berkata daripada 55 lokasi bazar Ramadan di seluruh Kuala Lumpur, hanya lima diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sementara yang lain diuruskan oleh persatuan peniaga dan penjaja.

“Sewa tapak tetap dikenakan oleh DBKL. Kita tak benarkan persatuan penjaja sewakan tapak kepada peniaga. Kita tidak mahu praktis sewa atas sewa. Peniaga menyewa tapak daripada DBKL dan persatuan hanya boleh caj bagi pengurusan sahaja kerana mereka yang membersihkan dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) mengemukakan rayuan kepada DBKL agar pengurusan 2,110 lot di bazar Ramadan diserahkan kepada persatuan susulan kenyataan DBKL yang ia akan mengurus sendiri kesemua 55 bazar, bermula tahun ini. – BERNAMA