Malaysia Dateline

Bazar Ramadan kali ini mungkin ada 10 gerai di satu tempat

Konsep Bazar Ramadhan tahun ini tidak akan dilaksanakan seperti kelazimannya, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, pelbagai perkara akan dipertimbangkan untuk mengelakkan orang ramai dari bersesak di gerai-gerai jualan.

“Saya mahu dibuat satu penelitian. Memang bazar Ramadhan dalam bentuk yang lazim diadakan dulu besar kemungkinannya kita mungkin tak boleh benarkan.

“Kalau bazar tempat yang sempit dengan beratus-ratus gerai, itu boleh diubahsuai.

“Jangan kerana kita pihak lain mengumumkan tiada bazar (Ramadan) tahun ini, maka kita terus cakap tak ada. Kita kena fikir keperluan masyarakat bandar yang bekerja dan tak sempat mahu memasak,” katanya semasa melakukan tinjauan kerja-kerja nyahcemar di bangunan kedai Present 15.

Menurutnya lagi, penutupan terus bazar juga bukan satu jalan penyelesaian yang baik oleh kerana susunan bazar tersebut yang menjadi permasalahan.

Katanya, garis panduan dan peraturan baru untuk membuka gerai-gerai jualan sepanjang bulan Ramadan juga akan diperkenalkan kelak.

“Yang pastinya sama ada PKP ini diteruskan atau tidak, kita tidak akan meneruskan cara lama yang boleh membawa kepada masalah kesihatan.

“Maka barangkali bazar Ramadhan mulai tahun ini, sekiranya dahulu ada 50 buah gerai di satu-satu tempat, barangkali ada 10 sahaja kali ini.

“Dijarakkan jauh-jauh. Kalau tak boleh letak banyak gerai dalam satu tempat, kita letak di kawasan ini sikit, kawasan itu sikit,” katanya.