Malaysia Dateline

Bazar Ramadhan Dataran Merdeka untuk persiapan Syawal

Bazar Ramadhan di Jalan Raja, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur mempunyai konsep tersendiri dan berbeza dengan bazar-bazar Ramadan yang lain.

Ini kerana bazar ini lebih memberikan fokus sebagai pusat membeli belah untuk persiapan Syawal bukannya untuk berbuka puasa.

Zulhazmi (kiri sekali) turun ke Bazar Ramadhan jalan Raja bersama pegawai Menteri Wilayah Persekutuan.

Demikian kata Zulhazmi Shariff, Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Wilayah Persekutuan dalam satu penjelasannya.

Katanya, “Bazar Ramadhan” yang dianjurkan di Dataran Merdeka hanya bagi jualan pakaian, barangan keperluan untuk menyambut Aidilfitri dan seumpamanya sahaja.

“Bazar Ramadhan Jalan Raja ini tidak menjual juadah berbuka puasa seperti bazar-bazar Ramadhan yang kebiasaannya di taman-taman perumahan.

“Jadi, jika nak cari nasi kerabu, murtabak dan sebagainya, Bazar Ramadhan Dataran Merdeka bukan tempatnya,” katanya.

Menurut beliau, pernah dicadangkan diubah terma “Bazar Ramadhan” tersebut kepada “Bazar Syawal” kerana ianya menyediakan barangan untuk menyambut Syawal tetapi dikekalkan juga Bazar Ramadhan.

Tahun ini DBKL telah mengubah lokasi Bazar Ramadhan yang dahulunya di Lorong Tuanku Abdul Rahman (Lorong TAR) ke lokasi baru iaitu di Jalan Raja berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad – Dataran Merdeka.

Azli Yusof, Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan, berbincang dengan peniaga Bazar Ramadhan Dataran Merdeka ketika turun ke sana semalam.

Pemindahan lokasi ini disebabkan beberapa faktor antaranya untuk memberikan keselesaan kepada pengguna, pengunjung dan juga kepada para penjual.

Menurut beliau, banyak perkara yang tidak tepat dimainkan di media dan diperbualkan di kalangan masyarakat yang perlu diperjelaskan. Antaranya isu terma “Bazar Ramadhan”.

“Jadi, tak perlu nak riuh rendah buat isu itu isu ini. Jika nak cari barang keperluan menyambut Aidilfitri, datanglah ke Dataran Merdeka,” katanya.