BDS Malaysia gesa kerajaan mohon maaf kehadiran wakil Israel pada WUF9

BDS Malaysia gesa kerajaan mohon maaf kehadiran wakil Israel pada WUF9

BDS Malaysia melahirkan rasa terkejut dan kesal dengan kehadiran perwakilan Israel dalam World Urban Forum ke-9 (WUF9) di Kuala Lumpur yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir  semalam.

Dalam satu kenyataan, BDS Malaysia menggesa kerajaan Malaysia memohon maaf di atas ‘kesilapan’ membenarkan wakil Israel hadir dalam forum tersebut kepada rakyat Palestin.

WUF atau Forum Bandar Sedunia itu dihoskan oleh United Nations Human Settlements Programme (UN Habitat).

BDS mempersoalkan adakah Malaysia serius dalam menjaga kedaulatan rakyat Palestin atau kerajaan hanya menanam tebu di tepi bibir?

“Kerajaan dan media Israel yang membuat liputan menyatakan sebagai satu kejayaan ke arah menormalkan hubungan antara Israel dan Malaysia.

“Wakil Israel David Roet telah memanfaatkan perjalanannya di sini menerusi media sosial untuk melebarkan agenda Zionisnya.

“Sekiranya kerajaan Malaysia dipaksa oleh PBB untuk membolehkan ‘wakil Israel’ hadir, fakta ini sepatutnya telah diketahui dan tidak disembunyikan.

“Ini akan membolehkan rakyat Malaysia yang menentang penindasan Israel terhadap Palestin untuk bertindak sewajarnya dalam isu ini,” ujar kenyataan itu.

Semalam media tempatan melaporkan beberapa diplomat kanan dari Israel turut serta dalam sebuah persidangan anjuran PBB di Kuala Lumpur, iaitu pertama kali diplomat negara itu dibenarkan masuk secara rasmi ke Malaysia, menurut akhbar Israel seperti dipetik media Malaysia.

The Times of Israel memetik jurucakap Kementerian Luar Israel yang mengesahkan pasukan diplomat kanan itu diketuai bekas timbalan duta negara itu ke PBB David Roet.

Roet yang memasuki Malaysia menggunakan pasport diplomatik Israel, turut mengadakan pertemuan dengan pegawai Malaysia, menurut laporan itu.

Tambah BDS Malaysia lagi, pendirian kerajaan Malaysia untuk tidak menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel adalah keputusan terbaik.

Bagaimanapun apa yang berlaku kini, ujar BDS Malaysia adalah perlanggaran hak Palestin sejak enam dekad lalu.

“Kami menyeru kerajaan untuk menegakkan pendirian yang tegas dan berani serta perlu bertanggungjawab terhadap penganjuran persidangan itu yang tidak boleh diterima sama sekali.

“Dengan perkembangan terkini ini, seseorang akan menyimpulkan bahawa kerajaan Malaysia hanya beretorik politik yang kosong.

“Kami menggesa kerajaan Malaysia untuk meminta maaf kepada rakyat Palestin atas pengkhianatan yang besar ini dan berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan besar ini,” tegas kenyataan itu.

Bahkan ujar BDS Malaysia tentang rakyat negara ini jelas dalam demontrasi yang dilakukan baru-baru ini terhadap penganjuran WUF, namun Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib telah menyatakan kerajaan akan terus memastikan keamanan terhadap Palestin amat membingungkan dan menimbulkan banyak persoalan terhadap pendirian kerajaan.

“Kami mahu mengajak kerajaan Malaysia untuk bersatu memperjuangkan nasib Palestin dengan menyahut usaha ke arah ‘Boycott, Divestment, Sanctions (BDS), terhadap Israel dan mewujudkan tindakan konkrit ke arah ini.

“Ia boleh bermula dengan memboikot Israel, institusi dan wakilnya. Ia juga boleh bertindak terhadap syarikat-syarikat yang membantu Israel dalam pengembangan penempatan dan perobohan rumah Palestin.” ujar kenyataan tersebut.

CATEGORIES