Usai penangkapan enam individu termasuk penyanyi wanita popular di Kelantan yang ditahan di Thailand berkaitan kes dadah membabitkan 6,000 pil kuda, lirik lagunya kini ditukar.
Lagu Cinta Setandan Pisang atau Bea Soba Bea sudah ditukar lirik oleh warganet dengan menggunakan perkataan pil kuda.
Penerbit juga komposer lagu terkenal, Eddie Hamid, tidak melatah malah menerima ia sebagai perkara positif dan menganggap itu hak masing-masing lapor Harian Metro.
“Bila ada (netizen) yang tukar dan tambah lirik lagu Cinta Setandan Pisang dengan perkataan pil kuda, saya okay dan tak apalah. Itu hak kebebasan masing-masing dan saya baca saja komen-komen ditulis.
“Ada bermacam-macam komen baru yang saya baca ditulis pada ruangan komen di saluran YouTube Kijang Music yang memuat naik video muzik lagu Cinta Setandan Pisang, termasuk ada lirik ditukar dan ditambah netizen.
“Antara komen saya baca itu, ada mendakwa lagu Cinta Setandan Pisang makin viral sebab pil kuda, bea kuda bea (lirik baharu) dan banyak lagi.
“Malah, saya juga perasan, semua lirik lagu Cinta Setandan Pisang itu ditukar ke bahasa Thailand dengan komen ditulis netizen dalam bahasa Thailand,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Dua lagu baru ciptaannya Tokleh Nak Soba dan Bea Soba Bea Raya bagaimanapun ditangguhkan kerana dia mahu penyanyi wanita itu juga untuk membawakan lagunya.
“Saya mengikuti perkembangan kes dan penyanyi terbabit kini difahamkan ditahan untuk siasatan lanjut selama 84 hari. Jadi, saya akan tunggu sehingga dibebaskan dan buat rakaman tertangguh.
“Ini kerana lagu Tokleh Nak Soba dan Bea Soba Bea Raya memang saya cipta untuknya. Lagu ini kena dengan vokalnya yang tersendiri dan kalau tukar dengan penyanyi wanita lain, macam kurang sesuai pula.
“Apapun, tengoklah macam mana nanti sebab kes di sana (Thailand) pun masih disiasat lagi. Belum dijatuhkan hukuman.
“Cuma, kalau saya nak tukar penyanyi pun mungkin untuk lagu Bea Soba Bea Raya sebab nak ‘release’ pada Aidilfitri tahun depan,” katanya.
Baca juga: Shamsul Ghau Ghau pesan artis veteran kalau cepat koyak jangan komen isu cerai berai
Semua individu berkenaan disahkan positif dadah dengan masing-masing tidak boleh diikat jamin sepanjang tempoh siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa Thailand selama 84 hari.