Beban kerja bertambah, murid terlalu ramai punca guru bandar murung

Masalah kemurungan guru di Malaysia lebih ketara di bandar besar – Gambar Hiasan

Guru yang bertugas di bandar besar dikenalpasti mengalami masalah kemurungan yang disifatkan cukup serius sehingga memerlukan tindakan segera daripada Kementerian Pendidikan untuk menanganinya.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd. Razak berkata, gejala tersebut berlaku akibat bebanan kerja yang semakin meningkat apabila perlu mengendalikan kelas yang mempunyai sehingga 60 murid.

Menurutnya, kes kemurungan guru di bandar besar dilaporkan semakin meningkat setiap tahun apabila tiada tindakan bagi menanganinya berbanding kelas bagi sekolah di luar bandar yang hanya mempunyai bilangan murid separuh daripada jumlah itu.

“Apabila jumlah murid terlalu ramai dalam satu kelas, maka bukan sahaja tugas mengajar makin mencabar bahkan tugas perkeranian yang juga sebahagian daripada tanggungjawab guru turut bertambah.

“Ini belum ditambah dengan faktor lain seperti masalah kewangan, masalah peribadi serta tekanan daripada ibu bapa. Jika cabaran ini tidak ditangani maka berlakulah kes kemurungan dan saya boleh dikatakan perkara ini cukup serius,” dipetik dari Utusan Malaysia hari ini.

Kamarozaman mengulas kes seorang guru wanita berusia 36 tahun yang mengalami kemurungan ditemukan mati dalam keadaan terlentang dipercayai terjatuh dari tingkat lima sebuah pasar raya di Ipoh, minggu lalu kerana tertekan dengan bebanan kerja yang banyak.

Pada 22 Julai lalu, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik turut mendedahkan masalah kekurangan guru di bandar besar semakin serius terutama di Johor dan Selangor ekoran ramai yang cenderung untuk bertugas di kampung halaman masing-masing.

Mengulas lanjut, Kamarozaman berkata, guru kaunseling untuk guru juga perlu disediakan Kementerian Pendidikan sebagai salah satu cara bagi menangani masalah itu memandangkan bukan murid sahaja perlu menjalani sesi kaunseling.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote