Malaysia Dateline

Beban masalah kesihatan mental di negara ini semakin membimbangkan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mendedahkan, beban masalah kesihatan mental di negara ini semakin membimbangkan disebabkan stigma mengenai masalah itu masih lagi wujud dalam kalangan masyarakat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, stigma atau salah faham telah menjadi batu penghalang kepada seseorang yang mengalami masalah atau penyakit mental untuk mendapatkan bantuan rawatan profesional yang lebih awal.

Katanya, berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang dilaksanakan KKM pada 2015, tiga daripada 10 orang berumur 16 tahun ke atas mengalami masalah kesihatan mental.

“Keputusan NHMS pada 2017 pula melaporkan, 18.3 peratus dalam kalangan remaja berumur 13 sehingga 17 tahun mengalami tanda-tanda kemurungan, 10 peratus mempunyai idea bunuh diri dan 7.9 peratus telah melakukan cubaan untuk membunuh diri.

“Trend ini menunjukkan peningkatan berbanding daripada hasil kajian pada tahun 2012. Pihak KKM telah melakukan pelbagai usaha termasuklah menjalankan aktiviti-aktiviti kesedaran kesihatan mental, saringan di klinik kesihatan dan komuniti serta perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental di hospital.

Datuk Seri Dr Dzulkefly mempraktikan senaman ringan bagi mengurangkan tekanan antara cara penjagaan kesihatan,

Selain itu bagi mengurangkan stigma masyarakat terhadap masalah terrsebut, KKM juga telah melaksanakan pelbagai usaha termasuklah mengangkat isu kesihatan mental ke peringkat lebih tinggi untuk dibincangkan di antara agensi-agensi kerajaan dengan diterajui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail.

“Lanjutan itu, pada tahun ini, lahirlah Kempen Nasional Let’s TALK Minda Sihat yang akan kita laksanakan bersama dengan penglibatan pelbagai agensi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

KKM juga telah melancarkan Kempen Let’s TALK Minda Sihat sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 yang bertemakan ‘Sayangi Nyawa Hidupkan Harapan’.

Majlis pelancaran yang diadakan di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu disempurnakan oleh Dr Dzulkefly yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Keong dan Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Malaysia, Singapura dan Brunei, Dr Ying-Ru Jacquelin Lo.

Kempen Let’s TALK Minda Sihat merupakan kempen hasil kolaborasi smart partnership bersama agensi-agensi kerajaan, bukan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha mempertingkatkan kesedaran kesihatan mental secara meluas bagi mengatasi stigma terhadap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly yang juga Pengarah Strategi AMANAH berharap, tema Let’s TALK Minda Sihat akan menjadi perbualan nasional dan tidak ada lagi stigma serta pandangan serong kepada sesiapa yang mengalaminya.

“Masalah kesihatan mental boleh berlaku kepada sesiapa pun, dalam saat dan ketika ia berlaku tekanan sehingga boleh terjadinya kemurungan.

“Pada satu-satu masa, mungkin kita yang memberikan bantuan dan rawatan, tetapi pada masa lain, mungkin kita pula yang mengalaminya dan memerlukan bantuan,” ujarnya.

Dalam majlis sama, Dr Dzulkefly turut melancarkan kolaborasi KKM dan Teeb TV bagi menganjurkan ‘1st Malaysia Mental Health Film Festival’.

Langkah atau inisiatif itu bertujuan menggalakkan lagi penglibatan penggiat seni dan media dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang masalah kesihatan mental dan menghapuskan stigma terhadapnya.

Malaysia Mental Health Film Festival telah membuka tirai pada 10 Oktober lalu sempena Hari Mental Sedunia. Setakat ini, Teeb TV telah menerima lebih 100 penyertaan daripada 53 negara termasuk Malaysia.