Malaysia Dateline

Bebas berada di Australia, kini Sajat bakal diisytihar muflis

Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Sajat yang dikatakan bebas berada di Australia berbanding di Malaysia kini bakal tersenarai dalam kalangan individu muflis di negara ini.

Ini berikutan pemuitang oleh Owa Resources Sdn. Bhd. menerusi Peguam Nurul Hafidzah Hassan telah memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi semalam.

Prosedur tersebut merupakan langkah terakhir bagi menuntut pembayaran penghakiman RM200,000 daripada Sajat kepada Owa Resources yang merupakan bekas stokis utama bengkung usahawan terbabit.

Nurul Hafidzah memberitahu, petisyen berkenaan difailkan selepas notis kebankrapan yang telah dikeluarkan terhadap usahawan berkenaan tidak mendapat sebarang maklum balas.

Katanya, menerusi perintah bankrap, Sajat boleh diisytiharkan muflis seterusnya menyebabkan segala aset termasuk rumah dan akaun bank milik Sajat diuruskan Jabatan Insolvensi.

“Petisyen berkenaan perlu diserahkan kepada Sajat dan sekiranya penyerahan itu gagal, kita akan membuat pengiklanan seterusnya kepada pendengaran dan perintah bankrap.

“Mungkin dalam sebulan dua lagi, kita akan perolehi keputusan (perintah bankrap) daripada mahkamah sekiranya Sajat terus gagal bayar jumlah penghakiman tersebut,” katanya dipetik Kosmo!

Beliau memberitahu, pihak­nya setakat ini belum dapat mengenal pasti keberadaan Sajat yang didakwa kini berada di Australia.

Malah, jelasnya, tiada sebarang pengesahan dokumen menunjukkan bahawa harta dan perniagaannya telah dijual sebagaimana yang dikatakan usahawan itu.

“Saya tidak rasa semudah itu menjual harta seperti rumah kerana perlu lalui pelbagai prosedur seperti melantik peguam, menandatangani dokumen jual beli dan pengesahan daripada pejabat tanah.

“Tambahan, Sajat telah mempunyai notis bankrap dan mungkin dia sengaja ‘propa’ agar tiada siapa mencarinya (termasuk tuntutan bayaran hakiman sebelum ini),” jelasnya.

Terdahulu, Sajat diberi notis kebankrapan melalui penyampaian ganti menerusi notis iklan dan penampalan selepas dibenarkan Mah­kamah Tinggi Shah Alam.

Ini susulan kegagalan Sajat membayar jumlah penghakiman RM200,000 kepada Owa Resources selepas tidak dapat menjejaki lokasi sebenar defendan.