Bebas ceramah di Terengganu, Ustaz Azhar Idrus akhirnya lulus tauliah mengajar

Oleh WAN SITI AMINAH

Penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus (UAI) akhirnya menerima tauliah mengajar daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu.

Laku dalam tempoh lima tahun bermula 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2028, kebenaran tersebut diberikan selepas Ustaz Azhar lulus dalam temu duga tauliah mengajar.

Temu duga tauliah mengajar bagi menyampaikan ceramah umum dan mengajar agama Islam berkitab itu dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Difahamkan selain Ustaz Azhar, sesi temu duga yang melibatkan 14 penceramah terkenal itu turut disertai oleh Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Harun.

Terdahulu, isu melibatkan Ustaz Azhar mula menjadi perhatian berikutan beberapa program ceramah yang melibatkan dirinya sering dibatalkan oleh pihak berwajib.

Mengundang perbincangan hangat, ketiadaan tauliah untuk mengajar agama rupanya menjadi punca mengapa program tersebut tidak mendapat kelulusan.

Isu tersebut bertambah meruncing apabila JHEAT mendedahkan bahawa UAI turut tidak mempunyai tauliah untuk mengajar agama di negeri kelahirannya sendiri.

Hal ini kerana, penceramah bebas terkenal itu sudah tiga kali tidak hadir apabila dipanggil untuk menjalani proses temu duga pemegang tauliah anjuran JHEAT.

UAI kemudian menerima pujian oleh orang ramai setelah akhirnya sudi menghadirkan diri di dalam sesi temu duga itu secara sukarela pada akhir bulan Mac lalu.

Menurut JHEAT, prosedur tersebut berjalan lancar dan hasil temu duga kemudian diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Khabar baik kemudian muncul setelah satu gambar dipercayai memaparkan sijil tauliah mengajar agama milik UAI ditularkan di media sosial pada petang semalam.

Foto sijil yang dikeluarkan oleh MAIDAM itu dikongsi menerusi satu hantaran yang dimuat naik oleh halaman komuniti Facebook, Telemong Sejahtera.

Baca juga: “Suami paksa aku pantang dekat rumah mak mentua, baru dua minggu, disuruhnya naku basuh baju pakai tangan, anak aku pula diberi air masak, meroyan aku…”