Malaysia Dateline

Bebas dari dikenakan tindakan tatatertib, Cikgu Fadli akan teruskan perjuangan ubah silibus tidak sesuai

Walaupun bebas dari dikenakan tindakan tatatertib Cikgu Mohd Fadli Salleh akan tetap meneruskan perjuangan mengubah silibus yang terlalu tinggi dan tidak sesuai itu.

Ini kerana, itulah perjuangan asalnya yang mahukan perubahan dalam pendidikan di mana ‘kerosakan’ itu perlu dibaiki, tetapi bukan semuanya ‘rosak’ kerana masih ada yang baik lagi.

Hari ini, guru Sekolah Kebangsaan (1) Gombak itu tidak akan dikenakan sebarang tindakan tatatertib oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Mohd Fadli juga dibebaskan daripada tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya yang dimaklumkan melalui satu surat yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Beberapa hari lalu, tular kisah Mohd Fadli yang dikatakan bakal dikenakan tindakan termasuk dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana mengkritik sistem pendidikan negara.

Malah, isu berkenaan turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Sementara itu, Mohd Fadli melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan, tak kira bangsa dan agama kerana faham dan tahu beliau ‘dizalimi’.

“Dizalimi itu ialah tidak sepatutnya tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat dikenakan ke atasnya walaupun mungkin ada salah silap daripada pihaknya sendiri,” kata beliau.

Tiga hari lalu, Mohd Fadli berkongsi di media sosial surat diterimanya mengenai tindakan boleh diambil ke atasnya, susulan kelantangan membantah silibus subjek Matematik bagi murid sekolah rendah, yang disifatkan terlalu tinggi dan tidak padan dengan keupayaan pelajar.

Beliau juga sebelum ini kerap menyuarakan kebimbangan mengenai berat beg sekolah yang terpaksa ditanggung murid, akibat kepadatan jadual pembelajaran.

Baca juga: Lelaki ini dedah silibus murid umur 6-7 tahun di USA macam ‘level’ tadika Malaysia

Baca juga: Jadi Perdana Menteri Malaysia untuk kali ke 3, Tun M mengaku masih berfungsi