“Bebas Guan Eng, tangkap Najib” bergema di Pulau Pinang

“Bebas Guan Eng, tangkap Najib” bergema di Pulau Pinang

Orang ramai berkumpul di luar ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pulau Pinang malam tadi untuk menuntut pembebasan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Lim ditahan di premis itu bersama dengan Phang Li Khoon, pemilik asal banglo di Jalan Pinhorn pada pukul 6 petang semalam.

Pemimpin utama DAP Pulau Pinang termasuk Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy dan Exco kerajaan negeri Chow Kon Yeow, Phee Boon Poh, Lim Hock Seng, Danny Law dan Chong Eng dilihat di kalangan orang ramai, lapor Malaysiakini.

Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mujahid Yusof Rawa tiba selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Bukit Gelugor, yang sepatutnya turut dihadiri Guan Eng.

Laungan “Bebaskan Guan Eng” dan “Hidup Guan Eng” kedengaran di kalangan orang ramai.

Mereka juga melaungkan “Tangkap Najib, tangkap Jho Low”, merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan rakan keluarganya, anak kelahiran Pulau Pinang yang dikaitkan dengan isu 1MDB, Low Taek-Jho.

Orang ramai seramai kira-kira 1,000 orang terus melaungkan slogan ‘bebaskan Guan Eng’ apabila salah sebuah kereta rasmi kerajaan negeri, Toyota hitam dengan nombor pendaftaran PCM 1, dilihat meninggalkan perkarangan bangunan itu tanpa Lim.

Setiausaha Agung DAP itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang terhadap dua pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana dikatakan berkaitan dengan pengezonan semula tanah pertanian kepada lot komersial.

Dia juga akan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana didakwa membeli banglonya di bawah nilai pasaran, satu kesalahan bagi seorang pegawai awam.

COMMENTS

Wordpress (0)