Bebaskan Islam daripada cengkaman pelampau

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin menegur pihak yang sekadar menjadikan Islam di mulut tidak benar-benar dihayati.

Bebaskan Islam daripada cengkaman pelampau

Beliau berkata, golongan sedemikian akan menyingkirkan mereka yang dianggap bercanggah dengannya ekoran sikap menjadikan Islam hanya eksklusif buat kelompoknya sahaja.

“Tak lekang kalimah Islam dari mulut. Dasar Islam, parti Islam, berjuang Islam sejak dulu sehingga kini, hanya retorik saja.

“Ketika lidah bergulung-gulung menyebut Islam, jika ada orang Islam lain yg berbeza pandangan dengannya, orang itu dilontar keluar drpd kelompok orang Islam,” ujarnya dipercayai merujuk kepada Pas.

Menurutnya, golongan tersebut turut menyebelahi pihak penindas sekalipun Islam memerintahkan penganutnya menentang ketidakadilan.

“Islam yang dilaungnya mengikut acuan dia dan partinya, bukan acuan Pencipta dan penurun Islam. Bukan acuan langit luas, tapi acuan langit wilayahnya.

“Pencipta dan penurun Islam mahukan orang Islam menyanggah penindas, tapi dia dan partinya yg meratib kalimah Islam di sana-sini memberi nafas kepada sang penindas,” bidasnya.

{loadposition myposition} Pas sejak dua tahun lalu dilihat lebih banyak berpihak kepada kerajaan Umno-BN bahkan turut serta dalam majlis dihadiri Presiden Umno tetapi sebaliknya bertindak memutuskan kerjasama politik dengan PKR dan DAP.

Paling dimusuhi adalah AMANAH, parti Abdul Hadi itu semakin mesra rejim Umno-BN yang terpalit dengan pelbagai kepincangan tadbir urus termasuk skandal syarikat pelaburan negara sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengulas lanjut, Ustaz Zolkharnain berkata,  situasi tersebut timbul kerana Islam yang dilaungkan mengikut kehendaknya sehingga menganggap diri sendiri lebih baik berbanding orang lain.

“Islam yang dia ratibkan itu adalah Islam versinya sendiri, versi rasa dirinya suci, versi rasa orang lain tidak seislam dirinya, versi rasa dirinya pemilik syurga,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru supaya semua pihak membebaskan Islam daripada dipermainkan ekstremis sebaliknya menterjemahkan makna nilai Rahmatan Lil ‘Alamin.

“Ayuh, bebaskan Islam daripada cengkaman pelampau sebegitu. Islam mesti dibiar terbang bersama rahmat-Nya.

“Biarkan Islam hinggap dimana-mana saja, dan menitipkan rahmat di tempat dia hinggap kepada sesiapa saja yang berada di situ,” tambahnya lagi.