Malaysia Dateline

Bebaskan Wan Ji, hapuskan Akta Hasutan, desak Pemuda PH

 Pemuda Pakatan Harapan mendesak kerajaan untuk segera membebaskan penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin selepas rayuan terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara, di tolak Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
Menerusi satu kenyataan, bersama hari ini  turut menggesa supaya kerajaan segera memansuhkan Akta Hasutan 1948.

“Kami difahamkan bahawa hukuman yang telah diputuskan juga adalah terlalu berat dan tidak mengikut kecenderungan hukuman denda yang diselalunya disabitkan di bawah Akta Hasutan.

“Kami ingin mengulang komitmen kami pada janji ke-21 manifesto Pakatan Harapan untuk memansuhkan semua akta zalim, termasuklah Akta Hasutan 1948 demi kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, kami mendesak pihak Pendakwa Raya untuk segera memberi penjelasan mengapa pihaknya mahu hukuman yang lebih berat ke atas Wan Ji yang jelas bertentangan dengan dasar Kerajaan Pakatan Harapan
mengenai akta yang zalim ini,”katanya.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ketua Pemuda DAP, Howard Lee Chuan How; Timbalan Ketua Pemuda PH, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; serta Ketua Pemuda Amanah, Mohd Sany Hamzan.