Syarikat-syarikat seperti Grab yang mahu menjadi Unicorn (nilai melebihi USS 1 bilion) akan mencari pasaran-pasaran yang lebih mesra kepada mereka.
Di antara apa yang mereka pertimbangkan adalah:
1. Penilaian
Penilaian saham di pusat kewangan seperti New York, London, Hong Kong dan Singapura lebih tinggi berbanding dengan pasaran-pasaran yang bukan pusat kewangan. Ini adalah kerana dana berkumpul di pusat-pusat kewangan kerana peraturannya amat longgar dan ianya bebas keluar masuk tanpa halangan. Kecairan dana dari pelbagai jenis pelabur akan meningkatkan penilaian saham-saham yang tersenarai.
Nisbah harga kepada keuntungan di Kuala Lumpur berkitar dalam 15, 16 sahaja. Maknanya bagi seringgit keuntungan, nilai saham boleh jadi RM15-16. Cuba semak penilaian syarikat-syarikat seperti Google, Apple dan Facebook yang tersenarai di New York.
Apabila penilaian dibuat di dalam Dollar, tentunya pengasas akan mendapat pulangan yang lebih tinggi berbanding dengan penilaian di dalam Ringgit. Inilah sebabnya perniagaan yang mahu menyenaraikan perniagaan di lokasi seperti New York akan mendolarkan perniagaan dengan beroperasi di beberapa buah negara.
2. Peraturan
Syarikat yang mahu disenaraikan akan mencari lokasi yang mana peraturan yang kena mereka patuhi lebih longgar. Di New York, tidak ada peraturan yang mengkehendaki perniagaan yang mahu disenaraikan perlu mengagihkan sebahagian saham kepada golongan tertentu di atas dasar pengagihan kekayaan. Tak ada MITI untuk menguruskan proses berkenaan.
Di Malaysia, untuk disenaraikan kena ada rekod keuntungan. Hanya syarikat-syarikat infrastruktur yang boleh disenaraikan tanpa rekod keuntungan. Grab belum menjana keuntungan tetapi sudah boleh disenaraikan di Nesdaq kerana peraturannya berbeza.
3. Kawalan
Banyak syarikat-syarikat berasaskan teknologi mengekalkan kawalan di tangan pengasas perniagaan berkenaan walaupun saham yang mereka pegang agak kecil. Ini bertentangan dengan prinsip tadbir urus yang diamalkan dinegara-negara seperti di Malaysia.
Ada pasaran yang melebihkan penzahiran berbanding dengan keadilan. Sekirannya pelabur membeli saham dengan mata terbuka dan faham dengan apa yang mereka buat, itu masalah pelaburlah. Siapa suruh beli.
Ada logiknya kawalan diberikan kepada orang yang benar-benar tahu dan mampu menjalankan perniagaan, bukan para penganalisis di syarikat pengurusan dana yang tidak pernah menjalankan perniagaan walaupun sebuah kedai runcit.
Jadi, Grab dan perniagaan-perniagaan yang seumpama dengannya memilih untuk keluar negara bukan kerana dihalau. Walaupun ada di antara orang-orang kita yang suka menghalau orang lain apabila berbeza pandangan, orang berniaga tahu halauan-halauan itu datang dari orang yang kecil jiwanya dan boleh diabaikan begitu sahaja.
Oleh kerana manusia secara semula jadi mahu memaksimakan kekayaan, mereka akan memilih berdasarkan apa yang akan menguntungkan mereka seperti perkara-perkara yang saya kongsiakan di atas.
Apa yang menarik ialah kemunculan Unicorn di Indonesia. Bursa Efek Indonesia nampaknya berusaha supaya syarikat-syarikat yang berpotensi sebagai Unicorn kekal di sana. Di antaranya ialah membenarkan Special Purpose Acquisition Company (SPAC) dibenarkan untuk disenaraikan. Kita sudah ada SPAC lebih dahulu lagi tetapi ianya amat terhad untuk sektor-sektor ekonomi tertentu sahaja.
Indonesia juga mempunyai pasaran yang jauh lebih besar kerana penduduknya ramai. Jadi, janganlah kita nak jadi Indonesia pula tanpa memahami konteksnya.
Oleh kerana dunia ini luas, orang bebas mengambil tindakan yang menguntungkan mereka. Kita bukan bersendiri di dalam menawarkan peluang pelaburan di dunia ini.
Penulis adalah bekas CEO Tabung Haji. Tulisan ini disiarkan dalam facebook beliau.