Bee Yin kahwin dengan CEO IOI Properties

Bee Yin kahwin dengan CEO IOI Properties

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dilaporkan menamatkan zaman bujangnya hari ini apabila melangsungkan perkahwinan dengan Ketua Pegawai Eskekutif (CEO) IOI Properties Group Bhd., Lee Yeow Seng.

Akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily melaporkan, Bee Yin dan pasangannya memeterai surat perkahwinan dalam suatu majlis di Kuala Lumpur.

Menurut laporan tersebut, majlis makan malam perkahwinan dijadual akan diadakan pada 29 Mac ini di sebuah hotel di Putrajaya.

Yeo Seng, 40 merupakan anak kepada pengasas kumpulan IOI Lee Shin Chen.

Pada awal bulan lalu, Malaysia Gazette melaporkan Bee Yin dijangka melangsungkan perkahwinan pada bulan ini.

Sinchew Daily ketika itu melaporkan, majlis perkahwinan akan berlangsung secara ‘berprofil rendah’ di Kuala Lumpur.

Bee Yin malahan dijangka tidak akan mengadakan kenduri di kampungnya di Segamat, Johor.

Seorang kawan rapat kepada bakal pengantin mengesahkan bahawa majlis perkahwinan akan diadakan pada akhir Mac.

Beberapa artis terkenal seperti Michael Wong dan Fish Leong pula menerima tempahan persembahan, keadaan yang menyebabkan khabar mengenai majlis perkahwinan menteri tersebut terdedah.

Bee Yin dilaporkan bercinta dengan Yeow Seng selepas ‘persahabatan’ mereka dibongkar kawan karib mereka pada Disember lalu.