Bekalan air bersih : Kerajaan negeri Kedah tidak serius atasi masalah 2juta rakyat

Bekalan air bersih : Kerajaan negeri Kedah tidak serius atasi masalah 2juta rakyat

Masalah bekalan air bersih di negeri Kedah sepatutnya menjadi perhatian utama oleh kerajaan negeri sekiranya mereka benar-benar jujur untuk menyelesaikan masalah yang amat menyukarkan lebih 2 juta penduduk negeri ini.

Akibat kelemahan yang ada pada kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, perkara ini masih belum dapat diatasi sejak sekian lama.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Amanah Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.

Datuk Dr Ismail Salleh

Datuk Dr Ismail Salleh

Malah katanya ia umpama kata pepatah yang popular di utara ‘pi mai pi mai, tang tu juga’ yang membawa erti tidak ke mana dan tetap ditakok lama.

Beliau juga berkata, faktor utama yang menyebabkan masalah bekalan air bersih tidak dapat diatasi adalah kerana ‘non revenue water’ (NRW) yang terlalu tinggi.

“Kedah mencatat NRW yang kedua tertinggi dalam Malaysia iaitu separuh daripada air adalah dari loji rawatan yang dibekalkan adalah NRW.

“Kerajaan negeri juga didapati sekali lagi tidak serius untuk menyelesaikan masalah ini walaupun dalam pembentangan bajet 2018 sejumlah RM276.44 juta pinjaman dari kerajaan pusat akan dibuat untuk tujuan prasarana pembaikan NRW.

“Manakala rekod peruntukan pada tahun 2017 bagi tujuan ini di seluruh negara hanyalah sebanyak RM531 juta untuk agihan di enam buah negeri,”jelasnya ketika ditemui semasa program ceramah isu semasa di Junjung, kelmarin.

Ujarnya lagi, paip AC yang usang dan menjadi antara penyebab utama NRW harus diganti dengan kos anggaran RM1 juta setiap 1km.

Oleh kerana itu katanya, dengan bajet RM276.44 juta hanya mampu untuk menyelesaikan 276 km paip AC dan ini hanyalah kurang dari 1 peratus daripada keseluruhan jumlah paip air di Kedah iaitu sepanjang 10,000 km.

“Terdapat bakinya sebahagian dari pinjaman 1 bilion dari kerajaan pusat untuk penambahbaikan loji di lima lokasi digunakan untuk prasarana pembaikan NRW.

Penduduk terpaksa simpan air hujan dan air bukit untuk kegunaan harian sementara menunggu bekalan air dari lori SADA.

“Sebenarnya tanpa peruntukan dan perancangan yang betul, maka adalah mustahil masalah kekurangan bekalan air bersih di negeri Kedah dapat dikurangkan.

“Sehubungan itu kerajaan negeri diminta supaya memberi fokus yang lebih dan bersungguh-sungguh dalam usaha mereka untuk menyelesaikan kemelut yang berpanjangan sekian lama,”tegasnya.

Sebagai mantan exco kerajaan negeri Kedah serta bekas Adun Pengkalan Kundor, beliau amat berharap kerajaan Umno dan BN yang ada kini dapat menunaikan janji mereka bagi memberi kesenangan kepada rakyat Kedah.

“Kita tidak mahu hanya slogan saja begitu lantang, terpampang sana dan sini, sebaliknya ia hanyalah indah khabar dari rupa.

“Manifesto pula panjang berjela seperti PRU 2013 yang menjanjikan jika BN menang, rakyat Kedah senang, tidak juga menjadi realiti, malah bertambah susah dan kritikal.

“Sampai bila rakyat negeri Kedah akan dibelenggu dengan pelbagai masalah hasil kepimpinan Umno dan BN belum dapat dipastikan, ” tambahnya.

Yang pasti katanya, isu bekalan air bersih ini merupakan kelemahan besar yang belum berjaya diatasi walaupun tempoh pemerintahan kerajaan negeri akan berakhir tidak lama lagi.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS