Malaysia Dateline

Bekalan air dipulihkan loji Sungai Semenyih mula beroperasi hari ini

Loji Rawatan Air Sungai Semenyih telah mula berfungsi dan bekalan air akan dipulihkan secara berperingkat bermula hari ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Amirudin Shari berkata, tindakan pantas pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor telah melaksanakan beberapa langkah segera sebaik sahaja mengesan pencemaran bau di River Monitoring System (RMS) di Sungai Buah semalam.

Tiga langkah yang dijalankan bagi mengatasi masalah itu iaitu, melaksanakan hentitugas loji rawatan air bagi mengelak pencemaran masuk ke sumber air terawat.

Dengan meletakkan 14 beg Activated Carbon (Serbuk Karbon Teraktif) di dua lokasi aliran sump berhampiran premis tersebut untuk mengawal sebarang pencemaran ke Sg. Semenyih.

Dan melakukan pelepasan air Empangan Semenyih sebanyak 227 juta liter sehari (JLH) dalam usaha untuk meningkatkan faktor pencairan/dilution factor dan flushing sungai bagi membolehkan pengoperasian LRA Semenyih dengan segera.

“Alhamdulillah, langkah-langkah yang telah diambil ini telah berjaya menyelesaikan isu pencemaran semalam dalam tempoh kurang dari 12 jam.

“94 lori tangki Air Selangor akan terus digerakkan ke kawasan yang terlibat serta Pili Awam akan disediakan di beberapa lokasi strategik,” katanya.

Justeru beliau menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan kepada pelaku selaras Seksyen 79(1) (a) Enakmen LUAS (Pindaan) 2020; di mana sebarang pencemaran sumber air apabila disabitkan kesalahan akan dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 3 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM200 ribu dan tidak melebihi RM 1 juta.

Terdahulu, LUAS telah menerima laporan daripada pihak Air Selangor berkenaan pencemaran bau sehingga 2 ton yang dikesan di RMS Kg. Sg. Buah pada jam 4 petang 3 September 2021.

LUAS, AIR Selangor dan pihak-pihak terlibat menjalankan siasatan dan tindakan-tindakan mitigasi segera.