Malaysia Dateline

Bekalan air pulih sepenuhnya 12 jam lebih awal dari yang dijangka

Bekalan air di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pulih sepenuhnya jam 9 pagi semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini bermakna, bekalan air telah dipulihkan keseluruhan 12 jam lebih awal dari sasaran dan jadual asal.

“Alhamdulillah,” kata Amirudin menerusi facebook beliau.

Pada 1 Oktober lepas, Air Selangor menaikkan notis gangguan bekalan air.

“Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan mengenai pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal yang akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

“Pelaksanaan kerja-kerja ini bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di 998 kawasan di Wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor bermula jam 9:00 pagi, 13 Oktober 2021 dan dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 9:00 malam, 16 Oktober 2021,” kata notis itu.