Malaysia Dateline

Bekalan elektrik pulih di Bario

Bekalan elektrik telah pulih di 11 kampung daripada 12 kawasan yang terjejas di Bario, Bahagian Miri pada 3 petang tadi selepas pasukan teknikal dikerah untuk menyegerakan kerja-kerja pembaikan.

Gangguan elektrik itu berlaku pada Jumaat menjejaskan bekalan tenaga ke Kampung Baru, Padang Pasir, Ulung Palang Atas, Ulung Palang Bawah, Pa Ukat, Pa Umor, Arur Dalan, Bario Asal, Arur Layun, Pa Derung, Pa Ramapuh Atas dan Pa Ramapuh Bawah.

Sarawak Energy berkata satu lagi kampung, Pa Derung, yang masih lagi terjejas, dijangka pulih 2 petang esok.

“Gangguan bekalan disebabkan kerosakan di Bario Central Solar Hybrid Power Station apabila keadaan cuaca mendung yang berpanjangan menjejaskan penjanaan solar di stesen jana kuasa, semasa peralihan kepada generator diesel sokongan loji jana kuasa.

“Tiga pasukan teknikal dari Miri dan Sibu termasuk satu pasukan yang diterbangkan oleh helikopter yang disewa awal hari ini menyegerakan kerja-kerja pembaikan untuk memulihkan kembali bekalan tenaga kepada penduduk Bario,” kata Sarawak Energy dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, kerah tugas itu tertangguh selepas pasukan teknikal yang tiba di tapak awal pagi semalam, menghadapi kesukaran dalam perjalanan berikutan laluan darat yang mencabar dan faktor hujan telah menjejaskan laluan balak untuk akses ke Bario, yang mempunyai penerbangan yang terhad.

Dalam situasi normal, perjalanan melalui laluan balak dari pangkalan pasukan teknikal di Miri mengambil masa kira-kira 14 jam.

“Sarawak Energy meminta maaf kepada masyarakat Bario atas kesulitan itu dan telah menjalankan siasatan segera untuk mengetahui punca masalah tersebut,” katanya.

— BERNAMA