Bekalan lembu dan kambing korban mencukupi tahun ini, kata menteri

Bekalan lembu dan kambing korban mencukupi tahun ini, kata menteri

Bekalan lembu dan kambing untuk keperluan di seluruh negara bagi sambutan Aidiladha tahun ini adalah mencukupi, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata ini berdasarkan kepada jumlah bekalan lembu dan kambing yang telah diimport dan jumlah ternakan tempatan di seluruh negara buat masa ini.

“Daripada perkiraan kita terdapat kira-kira 39,000 ekor lembu dan 40,000 ekor kambing stok yang sedia digunakan untuk tujuan hari raya korban, sedangkan keperluan sebenar untuk lembu ialah 29,000 ekor dan 24,000 ekor kambing.

“Jadi kalau dilihat dari segi bekalan, ia melebihi permintaan di seluruh negera dan tiada apa yang perlu dirisaukan oleh umat Islam untuk menyempurnakan ibadah korban tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Ladang Satelit Nasional Kampung Semerbok di Kota dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Hasim Rusdi.

Ahmad Shabery berkata sumber ternakan lembu adalah dari Australia dan Thailand yang diimport oleh syarikat-syarikat pembekal yang sah dan sumber ternakan lembu tempatan adalah daripada projek-projek Integrasi dan Fidlot di seluruh negara.

TAGS