Bekalan lembu, kambing cukup untuk ibadah korban

Bekalan lembu, kambing cukup untuk ibadah korban

Bekalan lembu dan kambing untuk keperluan ibadah korban sempena Aidiladha ini mencukupi, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata negara mempunyai 43,478 ekor lembu dan 31,743 ekor kambing yang sesuai digunakan bagi tujuan berkenaan malah jumlah itu jauh melebihi daripada permintaan setakat ini.

Dianggarkan pada tahun ini, lebih 31,000 ekor lembu dan 20,217 ekor kambing diperlukan bagi ibadah korban dan kita sentiasa pantau dan pastikan jumlah bekalan akan melebihi permintaan bagi mengelakkan isu ketidakcukupan timbul.

Lebih kurang 40 peratus daripada jumlah bekalan itu kita import dari Australia dan Thailand namun ia mesti dikuarantin dan digemukkan di sini, baru diedar kepada pembeli, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemasaran Bersepadu Agropreneur Muda Ternakan anjuran Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat hari ini.

Menyifatkan jumlah import bekalan lembu dan kambing agak tinggi, Ahmad Shabery menyeru usahawan ternakan khususnya golongan muda di negara ini supaya terus berdaya saing dan berusaha untuk mengeluarkan lebih banyak hasil secara tempatan.

{loadposition myposition} Katanya, sektor ternakan harus dilihat sebagai peluang perniagaan yang luas dan memberi keuntungan lumayan jika dilaksanakan secara serius memandangkan pelbagai bantuan modal serta tunjuk ajar disediakan kerajaan dan agensi terlibat.

Dalam pada itu, mengulas mengenai laporan akhbar mengatakan wujudnya aktiviti penyeludupan kira-kira 20,000 ekor lembu dan kerbau dari negara jiran melalui Sungai Golok, Kelantan, Ahmad Shabery berkata pihaknya akan meneliti terlebih dahulu isu berkenaan.

Isu ini harus dipandang serius kerana jumlah agak besar dan saya akan minta laporan daripada Jabatan

Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) untuk mengetahui bagaimana mereka boleh menganggar angka yang begitu besar.

Saya difahamkan hanya 30, 40 ekor ditangkap setakat ini tapi kalau 20,000 ternakan nak seberang sungai, ia perlukan tongkang atau kapal dan agak sukar untuk ditentukan jumlahnya, katanya.

Sehubungan itu kata Ahmad Shabery, orang ramai dinasihat supaya tidak membeli lembu atau kerbau

tanpa ‘tag’ di telinga haiwan berkenaan kerana hanya dengan penandaan sedemikian dapat dipastikan ternakan itu melepasi proses pemeriksaan dan kuarantin yang ditetapkan di negara ini.

Tambahnya lagi, setakat ini tiada penyakit haiwan ternakan baharu dikesan ekoran isu penyeludupan berkenaan dan disebabkan itu, proses kuarantin amat penting dilakukan ke atas ternakan import bagi mengelakkan ia menjangkiti haiwan tempatan.