Bekalan lembu, kambing sempena Aidiladha mencukupi, kata MOA

Bekalan lembu, kambing sempena  Aidiladha mencukupi,  kata MOA

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) hari ini memaklumkan, bekalan ternakan hidup seperti lembu dan kambing sempena Aidiladha hujung bulan ini, adalah mencukupi.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah memberi jaminan kepada pihaknya bahawa bekalan tersebut sememangnya mencukupi.

Beliau berkata berdasarkan statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar, stok bekalan lembu dan kerbau tempatan bagi penyembelihan Hari Raya Korban sehingga pada bulan Jun tahun ini adalah 36,232 ekor, manakala bekalan lembu dan kerbau yang diimport adalah 11,816 ekor.

Katanya, jumlah keseluruhan bekalan untuk lembu dan kerbau bagi tujuan korban adalah sebanyak 48,048 ekor.

“Bagi kambing dan biri-biri, bekalan tempatan untuk penyembelihan Hari Raya Korban sehingga bulan Jun 2019, adalah 28,892 ekor, manakala bekalan kambing dan biri-biri yang diimport dan bersedia untuk penyembelihan korban adalah sebanyak 7,048 ekor.

“Jumlah keseluruhan bekalan untuk kambing dan biri-biri bagi tujuan korban adalah 35,940 ekor.

“Bekalan ternakan bagi tujuan perayaan Hari Raya Korban ditentukan berdasarkan perangkaan bekalan semasa lembu tempatan dan lembu yang diimport dalam tempoh tiga bulan sebelum perayaan.

“Selain bekalan ternakan tempatan, sumber bekalan ternakan lembu dan daging juga di import dari Thailand dan Australia, manakala sumber bekalan ternakan kambing dan bebiri import adalah dari Australia,” katanya pada sidang media selepas sesi dialog bersama pengamal industri ruminan di kementeriannya, hari ini.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai Lembaga Ruminan Negara, Salahuddin menjelaskan ketika ini, pihaknya masih dalam proses untuk menjalinkan kerjasama daripada semua pihak yang terlibat dan ia adalah arahan daripada pihak kabinet.

“Ada beberapa perkara lagi yang perlu kita selesaikan, perkara ini akan dibawa kepada Kabinet pada awal tahun hadapan, selepas itu kita akan buat Rang Undang-Undang (RUU), dan selepas Parlimen meluluskannya, kita akan melancarkannya.

“Dengan adanya Lembaga Ruminan Negara, sebagaimana lembaga lain dalam MOA seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), kita dapat memberikan apa jua keperluan demi menjadikan kumpulan sasaran kita sebagai satu entiti yang boleh memberi pulangan dalam bentuk produktiviti,” kata Salahuddin yang juga merupakan Timbalan Presiden AMANAH.