Malaysia Dateline

Bekalan minyak jauh di laut lebih terjamin dari air bersih di Terengganu

Lebih 100,000 rakyat di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus baru-baru ini menderita berminggu-minggu akibat terputus bekalan air bersih sementara Menteri Besar menghabiskan masa di Putrajaya hendak menyelamatkan kedudukan Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yassin.

Selepas menunggu dua minggu, barulah mereka mendapat bekalan air semula. Malangnya, selepas hanya satu minggu, bekalan air dipulihkan, bekalan kawasan yang sama rosak kembali.

Dahulu, saya telah pun menyarankan siasatan terperinci dijalankan untuk memastikan peristiwa yang sama tidak berulang lagi kerana air adalah keperluan yang amat penting.

Cara pemberian kontrak kerja melibatkan bekalan air, kerja mengambil pasir di sungai, siapa yang bertanggungjawab menyebabkan putusnya paip air tersebut dan segala ulasan dari jabatan kerajaan seperti JBA, UPEN, JPS, UPEN dan jabatan berkenaan lain mesti diketahui umum dan dikaji kerajaan supaya insiden yang sama tidak berulang lagi.

Malangnya, kerajaan tidak mengambil berat saranan yang diutarakan untuk tatakelola baik serta tadbir urus yang sihat.

Pihak kerajaan Terengganu lebih mementingkan kerahsiaan maklumat butir-butir kerja rosak yang terlibat, identiti mereka yang terlibat dan bersalah, lebih daripad menjaga kepentingan orang ramai yang terpaksa merana sekali lagi entah untuk berapa lama pula kali ini.

Adakah ini yang dikatakan rakyat didahulukan, atau adakah di sini kroni diutamakan?

Dahulu Menteri Besar “menghadiahkan “dua bulan air percuma bernilai RM30 atas kerumitan putus bekalan air.

Entahlah berapa bulan pula hadiah air percuma kali ini yang dinanti penuh debaran oleh rakyat.

Rakyat di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sakit belakang mengangkut air dalam baldi dan tong akibat berminggu-minggu terputus bekalan air.

Apa yang pasti, mereka akan sakit belakang sekali lagi mengangkut air dalam baldi dan tong.

Selagi kerajaan yang menggelarkan diri sebagai kerajaan Melayu Islam tidak mengambil sikap lebih bertanggungjawab, selama itulah rakyat majoriti Melayu Islam Terengganu akan terus tertipu dan merana

Nampaknya bekalan minyak di laut Terengganu untuk Petronas lagi terjamin daripada bekalan air paip di darat untuk rakyat!

Lamanya waktu Menteri Besar Terengganu menghabiskan masa di Kuala Lumpur menjadi percakapan harian pegawai kerajaan dan orang awam Terengganu.

Adakah MB lebih berminat menjadi menteri kepada Perdana Menteri Malaysia berbanding menjadi Menteri Besar kepada rakyat Terengganu?

Adakah kerajaan negeri Terengganu mempunyai wakil rakyat dan Exco yang prihatin memantau kemudahan infrastruktur yang baik dan bukan sering rosak seperti yang sedang berlaku?

Terengganu memperoleh wang royalti minyak lumayan dari Putrajaya dan rakyat menyoal apa sebenarnya masalah yang dihadapi kerajaan Pas Terengganu ?

Jawapannya ialah cara pengurusan dan tadbir urus yang lemah dan kurang prihatin pemimpin kerajaan negeri.

Masa pemimpin Pas Terengganu hari ini tertumpu mengejar kedudukan dan kuasa dalam kerajaan pusat Putrajaya walaupun tanggungjawab  mereka sebenarnya di negeri.

Inilah nasib rakyat Terengganu Darul Iman yang terbiar sehinggalah dekat menjelang PRU-15 apabila Adun mereka akan mula mendampingi mereka semula.

Sehingga waktu itu, rakyat harus bersedia sering mengangkut air dalam tong dan baldi bagi keperluan asas harian mereka.

Pemuda AMANAH Terengganu menyalurkan bantuan bekalan air kepada penduduk terjejas.

Rakyat Kelantan telah mengalami masalah air yang berterusan lebih daripada 30 tahun di bawah kerajaan negeri Pas sehingga mereka diingatkan oleh Adun mereka, mereka boleh mandi di sungai seperti zaman dahulu.

Bekalan minyak di laut terbuka yang jauh untuk Petronas, yang  menjadi sumber wang royalti Terengganu, lebih terjamin tidak putus bekalannya berbanding bekalan air dekat di darat yang sering terputus di bawah pengurusan lemah kerajaan negeri Terengganu yang gagal.

Tidak bermakna kepada rakyat Terengganu jika negeri begitu kaya dengan minyak sementara rakyat senantiasa sering kehausan dahaga air untuk minuman dan kemudahan asas yang lain.

Wang lumayan royalti minyak dari Petronas tidak menjamin kejayaan kerajaan Pas di Terengganu jika pengurusan lemah gagal menjaga kebajikan rakyat dengan pemimpin negeri asyik bernafsu besar bertumpu di Putrajaya.

*DATUK RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH merupakan Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional dan Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu.