Malaysia Dateline

Bekalan perubatan: Keperluan mendesak yang perlu perhatian serius

Mereka yang merasakan krisis Covid-19 akan selesai dalam masa tiga minggu ataupun tiga bulan lagi mungkin sedang asyik dibuai mimpi. Mana-mana kerajaan dan masyarakat yang tidak memahami fakta ini bakal menyaksikan anggota barisan hadapan menderita ataupun terkorban, dan seterusnya keruntuhan sistem kesihatan mereka. Kemudian, hal ini akan diikuti oleh gelombang jangkitan yang baharu.

Sekitar 18 bulan yang akan datang, seluruh dunia akan memerlukan topeng muka, peralatan perlindungan peribadi (PPE), perisai muka, pensanitasi tangan, pembasmi kuman, alat bantuan pernafasan dan bekalan perubatan yang lain dalam kuantiti yang amat banyak.

Sudah tentu kita akan menghadapi persaingan yang cukup dahsyat dari negara-negara lain untuk bekalan ini. Apatah lagi, persaingan ini akan mengambil bentuk kaedah kapal perang (gunboat methods) sepertimana yang berlaku ketika abad ke-19. Apa yang saya bimbang, di Malaysia, tidak ramai dalam kalangan pemimpin yang memahami krisis ini secara mendalam dan meluas.

Sebaliknya, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menunjukkan bahawa beliau memahami dinamik di sebalik kekurangan bekalan negara apabila beliau menyenaraikan stok keperluan perubatan seperti berikut:

Topeng muka N95 – 37 hari
Topeng Pembedahan 3-lapis – 47 hari
Pelindung kepala (Protective Head Cover) – 52 hari
Perisai muka – 25 hari
Pelapik But – 78 hari
Gaun Pengasingan – 23 hari
Protective Coveralls/Jumpsuits – 19 hari

Akan tetapi, pengendalian melangkaui pembuatan dan pembekalan yang secukupnya melalui “”penghasilan waktu-perang” akan memerlukan pendekatan kerajaan yang menyeluruh. Negara kita perlu menghasilkan kelengkapan perubatan ini dengan pantas di dalam negara sendiri, dengan apa jua cara sekalipun. Hal ini memerlukan tindakan segera, dan bertambah mendesak dari hari ke hari.

Misalnya, topeng N95 merupakan salah satu kelengkapan yang kritikal buat anggota barisan hadapan yang mengendali pesakit Covid-19 secara terus. Sebelum krisis ini, pengimport-pengimport di Malaysia dapat memperoleh topeng-topeng ini pada harga USD 0.2 seunit.

PERLUMBAAN “KAPAL PERANG” GLOBAL UNTUK BEKALAN KESIHATAN

Kebelakangan ini, pengimport-pengimport ini telah dimaklumkan bahawa harga seunit untuk topeng adalah antara USD1.5 hingga USD2. Tidak kurang juga, ada sesetengah pengimport yang mendapati pembeli-pembeli daripada Amerika Utara terpaksa membayar dengan tunai di pintu kilang dengan harga USD 3 seunit.

Begitu juga dengan topeng pembedahan 3-lapis, PPE, dan peralatan bantuan pernafasan. Kisah ngeri berkenaan “perolehan kapal perang” di landasan lapangan terbang China sentiasa diceritakan oleh negara lain dan menjadi semakin terkenal. Amerika Syarikat telah membeli peralatan perubatan tersebut secara tunai pada harga yang lebih tinggi, walaupun negara-negara lain sudah membayar peralatan tersebut lebih awal lagi. Tidak lama lagi, Malaysia akan menghadapi kekurangan pembekalan untuk item-item kritikal ini sekiranya tiada usaha untuk meningkatan keupayaan pengeluaran tempatan.

Dalam usaha kami untuk membantu, pasukan saya di Johor telah mendapati bahawa di beberapa hospital di sana, anggota barisan hadapan langsung tidak mempunyai akses kepada topeng N95. Kekurangan PPE ini sudah diketahui umum, lebih-lebih lagi setelah pengakuan yang jujur dan berani daripada Datuk Dr. Noor Hisham.

Kita akan gagal membantu anggota barisan hadapan kita sekiranya kita tidak melengkapkan mereka dengan peralatan perubatan yang mencukupi. Kebanyakan peralatan ini tidaklah rumit untuk dihasil dan dikeluarkan, dan banyak kilang kita boleh disesuaikan untuk pembuatan peralatan ini, secara langsung menyelesaikan masalah pembekalan kita.

Tambahan pula, kita turut tidak boleh mengelakkan diri daripada mempertimbangkan bagaimanakah kita akan menjamin pembekalan kesihatan secara mampan pasca-Covid, ketika “kelaziman baharu”. Saya menggalakkan orang ramai untuk membaca garis panduan 10-muka surat yang dikarang oleh Dato’ Dr. Amar-Singh HSS dan lain-lain khusus untuk pengamal am perubatan dan mereka yang bekerja di klinik, termasuk doktor gigi. Garis panduan ini turut boleh diguna pakai oleh pengamal perubatan tradisional, pakar urut, kiropraktor, dan pakar-pakar perubatan lain.

Dalam pembacaan garis panduan ini, kita akan sedar keperluan sebenar untuk adanya bekalan peralatan perubatan yang lebih banyak di Malaysia demi melindungi pengamal am perubatan dan doktor gigi, khasnya sekiranya kita menganggap, seperti penulis garis panduan tersebut, semua pesakit dan pengiring mereka merupakan individu-individu positif Covid-19.

Kita sedang berlumba dengan masa. Lebih-lebih lagi ketika ini, kerajaan perlu menetapkan keutamaan yang tepat. Ramai daripada kalangan pemimpin Umno, seperti Shahrir Samad dan Dr Asyraf Wajdi, telah pun giat mengkritik Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa dan Menteri Kanan untuk Kluster Ekonomi. Jarang sekali saya bersetuju dengan pemimpin Umno, tapi buat kali ini, saya setuju.

Menteri MITI sewajarnya menetapkan garis panduan dan prosedur pengoperasian piawai (SOP) berkenaan pembukaan semula sektor-sektor ekonomi tertentu, khasnya sektor-sektor di bawah seliaan MITI. Beliau hanya boleh berbuat demikian setelah berunding dengan pihak berkuasa untuk kesihatan dan keselamatan. MITI secara sendirinya tidak mempunyai kuasa mutlak untuk sektor ekonomi di luar skop bidangnya.

Dengan wujudnya SOP dan garis panduan yang jelas daripada kerajaan pusat, maka penguatkuasaan perlu dipertanggungjawabkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT). Hal ini demikian kerana PBT merupakan pihak yang lebih arif berkenaan keadaan di akar umbi. Mereka juga mempunyai keupayaan untuk menguatkuasa dan memastikan garis panduan dipatuhi.

Penghasilan bekalan perubatan untuk memenuhi keperluan mendesak kita adalah soal hidup dan mati. Dan saya berkata sedemikian dengan lantang dan dengan perasaan mendesak untuk menarik perhatian kepada kesan negatif yang bakal terjadi akibat kegagalan kita untuk mengambil tindakan secepat mungkin.

Setakat ini, Proton komited menghasilkan 60,000 pelindung muka untuk diberikan percuma dan Top Glove menghasilkan 110 juta topeng muka setahun. Nation VTec Bhd yang membuat komponen mesin dan SSGM, syarikat pembungkusan makanan telah beralih kepada usaha menghasilkan PPE. Karex, syarikat pengeluar kondom menetapkan dua jalur pembuatan pelincirnya untuk penghasilan pensanitasi tangan.

Lebih banyak pemain industri perlu dilibatkan dalam usaha ini.

PERANAN PENTING KERAJAAN

Saya sedia maklum ada beberapa perniagaan yang masih ragu-ragu untuk membuat peralihan barisan pengeluaran bagi penghasilan bekalan perubatan.

Perkara pertama yang mahu sampaikan kepada mereka adalah permintaan bekalan perubatan akan kekal tinggi buat masa yang lama. Daripada menunggu isyarat perubahan pasaran global, mereka perlu sedar dari awal bahawa permintaan tempatan amat tinggi dan ia akan terus bertambah. Bertindak awal dengan mengambil manfaat terhadap dinamik pasaran baharu adalah satu tindak ekonomi yang bijak dalam apa situasi sekalipun. Apa yang diperlukan adalah keberanian daripada pemegang taruh.

Kedua, ada yang percaya, sejak dua dekad lalu semasa China menjadi hub pembuatan dunia, bahawa China mampu melonjakkan penghasilan apa-apa barangan bagi memenuhi permintaan tidak kira tempat dan masa. Dengan bayangan China sebagai gergasi dalam sektor pembuatan dan juga bakal pesaing yang tidak mampu ditandingi, tentulah mereka tidak bersedia untuk melabur. Pada anggapan mereka, hanya kerugian yang menanti dalam jangka masa panjang.

Di sinilah di mana kerajaan perlu memainkan peranan. Mereka perlu meningkatkan bekalan dalam jangka masa pendek, dan melaksanakan dasar bagi mewujudkan penyimpanan stok nasional. Langkah ini dapat membantu melonjakkan kemampuan pengeluaran nasional untuk keperluan perubatan utama.

Kerajaan mempunyai peranan penting dalam situasi ekonomi sekarang. Ia boleh melaksanakan insentif yang hebat bagi menggalakkan pertumbuhan aktiviti ekonomi utama.

Ia semacam menceduk idea daripada helaian buku dasar industri. Jika perlu, kerajaan boleh mengambil pengajaran daripada Akta Pengeluaran Pertahanan yang dipelopori Amerika Syarikat semasa Perang Korea pada tahun 1950.

Isyarat yang konsisten daripada kerajaan menuju ke arah ini akan menggalakkan bank-bank untuk memberi sokongan dan membantu membina industri pembekalan keperluan perubatan yang besar di Malaysia.

Pemimpin GLC dan GLIC sepatutnya mengambil kesempatan yang sama, apabila mereka sedar hakikat persaingan menghasilkan bekalan perubatan sudah bermula.

Untuk memastikan semua pihak memahami keperluan perkara ini, Perdana Menteri, Menteri MITI dan menteri yang berkait dengan ekonomi sepatutnya menubuhkan sebuah ‘bilik perang’ untuk memberi laporan kepada rakyat setiap hari tentang jumlah penghasilan topeng N95, topeng muka tiga baris, PPE, pelindung muka, pensanitasi tangan, pembasmi kuman dan sarung tangan perubatan.

Ketika perang Covid-19, barisan hadapan bertarung demi kelangsungan hidup kita. PPE, topeng muka dan barang-barang lain merupakan senjata yang mereka perlukan.

Amatlah tidak adil untuk mengerah barisan hadapan kita ke medan peperangan ini dengan persediaan yang rapuh dan bekalan tidak mencukupi. Bagi mengelakkan perkara ini, Malaysia perlu bertindak sekarang.