Bekalan ubat dicatu, pesakit kritikal terpaksa kerap ke hospital

Bekalan ubat dicatu, pesakit kritikal terpaksa kerap ke hospital

"Bang, satu Malaysia macam ini. Ubat memang dah tak cukup," kata staf Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ketika menyerahkan bungkusan ubat kepada seorang pesakit kanser petang semalam.

“Bang, satu Malaysia macam ini. Ubat memang dah tak cukup,” kata staf Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ketika menyerahkan bungkusan ubat kepada seorang pesakit kanser petang semalam.

Dua kali lelaki berusia lingkungan awal 20-an berkenaan mengulang hal tentang bekalan ubat yang tidak mencukupi itu.

“Kalau bagi banyak (ubat), nanti orang lain tak cukup pula,” tambah kakitangan bercermin mata itu lagi sambil mengambil bungkusan ubat untuk pesakit seterusnya.

Tanpa mahu bersoal jawab lagi, Azlan (bukan nama sebenar) terpaksa melangkah perlahan-lahan meninggalkan kaunter farmasi PPUM tersebut.

Berserta dentingan nombor giliran silih berganti, ruang mengambil ubat pada jam 2 petang ketika itu sememangnya padat dengan pesakit majoritinya warga emas.

Menurut Azlan, 36, situasi catuan ubat yang perlu diambilnya sehingga ke akhir hayat itu sudah berlarutan sejak tahun lalu.

Jika tahun lepas, bapa kepada seorang anak itu perlu sebulan sekali mengambil ubat tersebut tetapi menjengah tahun ini, beliau terpaksa kerap bertandang di PPUM iaitu dua minggu sekali.

“Semua orang macam ini. Kena datang lagi kerap ambil ubat sebab bekalan sudah dipotong,” jawabnya apabila saya bertanyakan hal tersebut.

Beliau turut tidak menolak ‘catuan’ bekalan ubat itu berlaku berkemungkinan akibat pemotongan peruntukan perubatan dalam pengumuman belanjawan yang lalu.

Hal sama juga diakui Abd Hadi Mohamad apabila sudah tidak dapat lagi memperoleh bekalan ubat daripada Hospital Putrajaya seperti dialami ibunya sebagai isteri pesara kerajaan yang berdepan masalah lutut.

“Ada dua jenis bekalan ubat yang ibu saya boleh dapatkan. Tapi sejak pertengahan tahun 2015 lagi sudah tidak boleh lagi.

“Kenalah dapatkan ubat itu di klinik dan farmasi. Satu ubat yang cucuk di lutut kiri dan kanan masing-masing mencecah RM1,500. Maknanya jumlah kesemua sekali RM3,000 bagi dua atau tiga kali setahun.

“Lagi satu ubat, kosnya sekitar ratusan ringgit setiap bulan. Sekarang pun sudah tidak boleh ‘claim’ dengan pihak jabatan,” jelas anak pegawai polis itu.

Menurut Abd Hadi, sukar baginya menggambarkan apa berlaku pada masa akan datang dengan langkah kerajaan dalam menyediakan rawatan perubatan kepada rakyat.

“Mula-mula ubat cucuk di lutut dihentikan. Tahun lepas, ubat yang kena ambil secara bulanan pula. Lepas ini tak tahulah macam mana,” ujarnya lagi.

Lama menanggung penyakit, kolumnis akhbar mingguan Amanah, Ahmad Lutfi Othman turut memberitahu jumlah ubat yang hospital kerajaan berikan secara percuma seperti menjadi kelaziman sebelum ini semakin berkurangan.

“Saya juga pernah lalui bekalan ubat tidak cukup dan semakin banyak kena beli sendiri di farmasi,” ujarnya yang menghidap penyakit buah pinggang dan diabetes.

Kerajaan sebelum ini mengakui berlaku kekurangan bekalan ubat di hospital akibat pemotongan peruntukan sebanyak RM380 juta untuk perolehan perubatan pada Bajet 2016.

Walau bagaimanapun, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat pada 5 Disember tahun lalu berkata, kerajaan sudah memberi balik peruntukan tersebut selepas kementerian membuat rayuan.

TAGS