Bekas Adun BN berang, tuduh Amanah pecahkan perpaduan Melayu

Bekas Adun BN berang, tuduh Amanah pecahkan perpaduan Melayu

 

Perkarangan Masjid Riadus Salihin di Kampung Semera dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Sadong Jaya gempar apabila pemimpin BN, Wan Abdul Wahab Wan Sanusi berang dengan sekumpulan petugas Amanah selepas sembahyang Jumaat hari ini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) itu menuduh keputusan Amanah untuk bertanding di Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 kali ini tidak lebih hanya mengundang perpecahan dalam masyarakat Melayu di Sarawak.

“Kalau betul nak tolong orang Melayu, kenapa tidak bertanding di semua kerusi? Ini bertanding 13 kerusi saja.

“Kalau menang semua (kerusi) pun, sama saja. Ini je dapat,” perlekehnya sambil menggayakan aksi dengan meletak jari di lubang hidungnya.

Pada masa sama, Wahab turut mencabar ingin bertemu dengan Presiden Amanah, Mohamad Sabu serta kira-kira 10 petugas Amanah di sekelilingnya.

“Kenapa dia tidak dapat masuk (Sarawak)? Sebab dia jahat,” tegasnya dengan nada suara tinggi di hadapan Setiausaha Amanah Wilayah Persekutuan, Yusoff Ahmad merangkap Pemangku Pengarah Biro Pilihan Raya Wilayah Persekutuan.

Diminta mengulas insiden tersebut, calon Amanah Ustaz Othman Mustafa menganggap serangan agresif pemimpin BN itu berlaku ekoran sokongan masyarakat tempatan terhadap Amanah semakin bertambah.

Dalam hal berkaitan, seorang lelaki tempatan yang mendakwa dirinya Ahli Jawatankuasa masjid itu mengarahkan kumpulan jentera pilihan raya Amanah terbabit supaya bersurai kerana tempat ibadat tersebut bukannya tempat ceramah.

Terdahulu, Wahab yang merupakan Adun kawasan itu selama tiga penggal sebelum PRN 2011 mengiringi calon BN yang juga penyandang Dun Sadong Jaya, Ir Aidel Lariwoo untuk mengerjakan sembahyang Jumaat.

Untuk rekod, Aidel melalui parti tulang belakang BN di Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB) mendapat majoriti 2,934 undi pada PRN 2011.

Pada PRN kali ini, Dun Sadong Jaya merupakan salah satu daripada 13 kerusi ditandingi Amanah dengan pertembungan empat penjuru di antara BN, Pas dan calon Bebas.

Lebih 6,000 pemilih berdaftar di Dun Sadong Jaya bakal membuang undi esok di sembilan Pusat Daerah Mengundi.

TAGS