Bekas Adun Jabi jawab tuduhan Pas

Bekas Adun Jabi jawab tuduhan Pas

Bekas Adun Jabi (BN) Mohd Iskandar Jaafar hari ini tampil mempertahankan dirinya apabila
dituduh menghabiskan semua peruntukan kerajaan negeri Terengganu kepada Dun beliau.

Menulis di Facebooknya, beliau berkata ‘orang baru’ iaitu Adun Jabi Dr Azman Ibrahim merungut kononya beliau menghabiskan semua peruntukan sehingga menyukarkan beliau membuat kerja setelah memenangi kerusi itu.

“Beliau cuba memberi persepsi bahawa saya belanja habis semua peruntukan dalam tempoh 3 bulan pertama 2018. Ada juga disampaikan kepada saya kononnya saya menyekat bantuan kepada rakyat seperti bantuan kebajikan, tabung kronik dan lain-lain kepada orang Pas.

“Saya hanya diam dan tersenyum sambil berkata “tak apalah..biasalah masih baru, lama-lama nanti dia fahamlah,”katanya.

Bahkan beliau turut menafikan meninggalkan hutang beratus ribu ringgit dan menegaskan jumlah tersebut adalah jumlah yang perlu dibayar kepada kontraktor yang membina dan mambaiki rumah rakyat sejak tahun 2017 dan awal 2018.

“Saya tidak membelanjakan peruntukan kerajaan sesuka hati saya, saya tidak meninggalkan hutang supaya orang lain mendapat susah. Saya buat semua itu untuk membantu rakyat kerana saya memikul beban amanah yang saya bakal di persoalkan di akhirat kelak.

“Sekarang Tuan YB sudah menang, malah di lantik sebagai Exco Kerajaan, tidak perlu saya mengajar tuan bagaimana untuk menguruskan perbelanjaan dan mencari peruntukan kewangan walau pun orang tua kita selaku berpesan ‘malu bertanya sesat jalan’.

“Saya mewakili rakyat selama 5 tahun dengan mencari sumber kewangan tanpa sekali pun, menyalahkan bekas wakil rakyat yang saya gantikan dulu. Bekerjalah dengan ikhlas tanpa banyak ” mengetek” orang lain,”tambah beliau.

Terdahulu, Azman telah memuatnaik status di Facebooknya mengatakan;

“MB Terengganu dah keluarkan kenyataan dalam program perantau malam ini bagaimana pelbagai peruntukan tahunan berjumlah jutaan ringgit yang disalurkan kepada Adun BN sebelum ini didapati telah habis dibelanjakan sebaik sahaja kita ambil alih kerajaan.

“Sebelum bubar parlimen mereka dah habiskan. Parlimen bubar bulan 4 jauh lagi nak habis tahun. Kita masuk tengok kosong. Lebih teruk peruntukan bantuan rumah Adun Jabi bukan setakat habis malah tinggal hutang pula di pejabat daerah lebih beratus ribu. Maaf kita kena royat perkara ini walaupun pahit. Rakyat kena tahu,” tulis Azman.

Iskandar mempunyai alasan tertentu mempertahan tindakannya yang mempunyai asas bagi membantu rakyat dengan setiap sen yang dibelanjakan bagi tujuan menjalankan amanah tersebut.

“Maka apa bezanya perbelajaan di buat pada awal tahun atau tengah tahun atau hujung tahun sekali pun kerana tujuannya ialah membantu rakyat,” tegasnya.

Katanya, kerajaan BN Terengganu pada 2017 telah peruntukan sebanyak RM 2 juta kepada Dun Jabi untuk Program Bantuan Rumah (PBR) sama ada baik pulih atau bina baru (rumah subsidi).

Tambah beliau, peruntukan pertama di terima melalui surat Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) bertarikh 19 Januari 2017 dan peruntukan kedua pada 28 September 2017.

Kesemua peruntukan di salurkan melalui Pejabat Daerah Besut, pegawai daerah Besut sebagai pengawal dibantu oleh pegawai-pegawai lain mengikut bidang tugas masing-masing, katanya.

“Tahun 2017, saya memberi keutamaan untuk program baik pulih rumah rakyat. Peruntukan RM1 juta pertama telah di belanjakan untuk baiki sebanyak 97 buah rumah, siap dan selesai di bayar dalam tahun semasa.

“Kadar bagi setiap buah rumah ialah maksimum RM11,000. Manakala bagi peruntukan RM1 juta kedua saya telah mencadangkan untuk baik pulih sebanyak 64 buah rumah, pun siap dan di bayar sepenuhnya. Keseluruhan rumah rakyat yang kita baiki pada 2017 ialah 161 buah rumah orang Umno, Pas, atas pagar bawah pagar semua ada,”jelasnya.

Jumlah yang di belanjakan untuk program ini ialah RM 1,159,943.93 sen.

Malah katanya, pada tahun itu beliau merancang membina 16 buah rumah baru kepada pemohon yang layak dengan jumlah peruntukan membina 16 buah rumah baru sebanyak RM 659,230.

Justeru beliau mempunyai sebab munasabah kenapa peruntukan habis dibelanjakan dalam masa tiga bulan tahun ini.

“Oleh kerana peruntukan RM1 juta kedua hanya di terima suku keempat tahun 2017 (Sept/Okt) maka proses kerja bermula lambat. Di sinilah timbul masalah seperti cuaca, kekangan masa dan prosedur kewangan yang perlu di patuhi,”katanya.

8.8
OVERALL SCORE
: 10.0
3 user votes x 8.3