Bekas Adun Pas Selangor direman dua hari

Bekas Adun Pas Selangor direman dua hari

Seorang bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor hari ini direman dua hari bagi membantu siasatan salah guna dana kerajaan berjumlah RM50,000.

Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin mengeluarkan perintah itu bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan ke atas wanita tersebut mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, suspek berusia 56 tahun itu tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam pada 10.40 pagi dengan berpakaian lokap SPRM dan tangan bergari.

Difahamkan bekas Adun Pas itu didakwa melantik sebuah syarikat sebagai pembekal bagi Program Masyarakat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri yang mana syarikat tersebut adalah milik anaknya, antara sekitar 2015 hingga 2018.

Semalam, media melaporkan wanita itu ditahan kira-kira 5.50 petang semalam di pejabat SPRM Selangor ketika hadir untuk memberi keterangan.

Sementara itu, peguam Ahmad Amzar Ahmad Azlan yang mewakili bekas Adun itu mempersoalkan jangka waktu penangkapan anak guamnya oleh SPRM yang disifatkan seakan-akan mahu mempengaruhi pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Seri Setia.

“Timing (waktu) kes ini hampir dengan PRK Seri Setia yang diadakan Sabtu ini, dan pengundian awal pada hari ini. Ia memberi gambaran ini disengajakan seolah-olah untuk mempengaruhi pengundi nanti.

“Kami bukan mahu bersangka buruk tetapi dalam politik tiada perkara yang berlaku secara kebetulan,” katanya lapor Bernama.

Pada PRK itu, calon PAS Dr Halimah Ali berdepan pertandingan satu lawan satu menentang calon Pakatan Harapan Halimey Abu Bakar dan ia diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN berkenaan Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus pada 2 Ogos lepas.

7.3
OVERALL SCORE
: 9.0
3 user votes x 6.7