Malaysia Dateline

Bekas Adun Umno yang kalah tebal muka rasmi program

Bekas Adun Umno Kemelah Datuk Ayub Rahmat telah dipanggil untuk merasmikan suatu program anjuran Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) di Dun Kemelah Segamat.

Pada tarikh 1 Mei yang lalu, bekas Adun itu telah hadir ke program berkenaan untuk bersama masyarakat yang mana pada awalnya program tersebut adalah hasil usaha sama antara Kospen dan Adun Kemelah, Dr Sulaiman Mohd Nor dari PH.

Perkara itu telah menjadi kontroversi apabila sumbangan dari pihak Adun Kemelah ditarik semula kerana pihak Kospen Melayu Raya telah memanggil bekas Adun berkenaan untuk merasmikan program tersebut.

Menurut Sulaiman dalam suatu kenyataan media berkata, kerjasama antara Kospen Melayu Raya dan pihak Adun Kemelah dibatalkan akibat dari tindakan menjemput bekas Adun berkenaan.

“Pejabat Dun Kemelah melalui saya pada awalnya telah meluluskan peruntukkan di bawah saya sejumlah RM1250, malangnya pada 1 Mei yang lalu seorang pemimpin Umno yang telah kalah dalam PRU-14 telah dijemput Kospen Melayu Raya merasmikan program tersebut.

Datuk Ayub Rahmat berbaju putih ketika merasmikan program bersama Kospen

“Program yang dikatakan anjuran bersama dengan Dun Kemelah. Hakikatnya ketua kampung yang dijemput hadir juga tidak dimaklum lebih awal siapa perasmi program tersebut.

“Saya turut tidak dimaklumkan siapakan perasmi program berkenaan sehinggalah selepas program berlangsung pada 1 Mei yang lalu,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, pihaknya telah memanggil ahli jawatankuasa Kospen ke pejabat beliau pada 8 Mei 2019 untuk memaklumkan pembatalan kerjasama antara beliau dan Kospen serta menuntut sumbangan dipulangkan semula.

“Saya dalam pertemuan tersebut memaklumkan agensi seperti Kospen yang di bawah Kementerian Kesihatan sepatutnya memanggil wakil kerajaan sama ada ketua kampung atau pegawai Perubatan.

“Wang sumbangan telah dipulangkan kepada saya pada tarikh 9 Mei 2019 dan saya menganggap perkara tersebut selesai namun malangnya perkara tersebut telah berbangkit di ‘Facebook’ pembangkang dengan menyatakan saya menarik balik sumbangan dalam program yang melibatkan rakyat.

“Saya menafikan perkara ini dan hakikatnya sumbangan saya pohon untuk dipulangkan akan saya salurkan kepada rakyat dengan cara yang lain bukan bersifat kepentingan politik,” ujarnya lagi.

Dalam responden yang diterima melalui penduduk di sana, program yang dijalankan oleh Kospen berkenaan tidak sepatutnya membelakangkan hak sebuah kerajaan dan ada juga yang mempersoalkan berkenaan jawatan kerajaan apakah yang dimiliki oleh Ayub ketika merasmikan program berkenaan.

Menurut responden yang lain turut berkata, Ayub perlu sedar dirinya itu telah kalah dalam PRU yang lalu serta perlu belajar menghormati keputusan rakyat.