Malaysia Dateline

Bekas Ahli Majlis MPSP tarik balik saman fitnah terhadap dua Adun Pulau Pinang

Saman fitnah yang difailkan bekas Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) G. Rajasegar terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Pinang diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Rajasegar yang juga Presiden Pertubuhan India Koridor Utara (NIC), selaku plaintif, menarik balik saman fitnah itu dan memohon maaf kepada Adun Jawi H’ng Mooi Lye dan Adun Sungai Bakap yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Dr Amar Pritpal Abdullah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hadhariah Syed Ismail turut memerintahkan plaintif membayar kos RM5,000 kepada setiap defendan.

Terdahulu, sebelum memulakan perbicaraan kes saman itu yang bermula hari ini, peguam mewakili Rajasegar, K. Mahindra memaklumkan kepada mahkamah plaintif telah bersetuju untuk menarik balik saman itu.

Mahkamah kemudiannya memutuskan bahawa tuntutan plaintif terhadap defendan telah dibatalkan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula tindakan baharu.

“Tuntutan-tuntuan plaintif terhadap defendan dibatalkan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula kes ini dan plaintif juga perlu membayar kos RM5,000 kepada kedua-dua defendan,” kata Hadhariah.

H’ng dan Amar Pritpal hadir pada prosiding hari ini dan mereka masing-masing diwakili peguam R.S.N Rayer dan Jason Ong Khan Lee.

Dalam saman yang difailkan Februari tahun lepas, Rajasegar mendakwa kedua-dua defendan telah memfitnahnya menerusi mesej dalam kumpulan WhatsApp bernama ‘AM & HOD MPSP’ pada Mei 2017 dengan tujuan merosakkan reputasi dan martabatnya serta NIC.

Dalam penyataan tuntutan itu, Rajasegar berkata H’ng dalam mesej itu mendakwa Rajasegar menyalahgunakan kekuasaannya sebagai bekas anggota majlis MPSP manakala Amar Pritpal pula mendakwa bahawa NIC adalah pertubuhan bukan kerajaan yang menjana keuntungan.