Malaysia Dateline

Bekas AJK Pembinaan sedih surau lapangan terbang dimusnahkan begitu sahaja

Selepas masjid atau surau Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dirobohkan menggunakan jentolak, ramai pihak melahirkan rasa sedih mereka termasuk bekas ahli jawatankuasa pembinaannya.

ABDUL FATAH HARUN

Abdul Fatah Harun, Yang Dipertuan Pas Rantau Panjang, antara yang melahirkan rasa sedih melihat surau yang beliau sama-sama bina dahulu dirobohkan dengan menggunakan jentolak.

“Sedih dan sayu juga melihat masjid ini diroboh dengan mudah menggunakan jentolak sebab masjid ini didirikan dengan menggunakan kayu chengal belako,” tulis Fatah menerusi Facebook beliau.

Menurut Fatah, Pengerusi Jawatankuasa Kuasa pembinanaan masjid ini ialah Allahyarham Datuk Nik Ishak.

“AJK lain yang masih ambo ingat ialah Raja Rizal (salah seorang keluarga diraja Kelantan yang juga seorang artis).

“Ambo juga salah saorang AJK (waktu itu ambo sebagai Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan),” cerita Fatah tentang masjid itu.

Menurut beliau, wang terkumpul untuk pembinaan masjid ini diperolehi melaluai Majlis Makan Malam di Dewan Makan Kota Darulnaim, iaitu komplek pejabat kerajaan negeri Kelantan.

“Almarhum Sultan Ismail berangkat di dalam majlis tersebut bersama Allahyarham Tok Guru Nik Aziz.

“Malam itu diserikan dengan nasyid Abdul Rahman Albaladi,” cerita Fatah lagi tentang masjid itu.

Sebelum ini, bekas Setiausaha Politik Tok Guru Nik Aziz, Anuar Bakri Harun bercerita panjang lebar tentang masjid ini selepas ia dirobohkan untuk membolehkan bangunan lain dibina di atasnya.

Menurut beliau, keunikan seni bina masjid/surau dan rumah-rumah ibadah peninggalan silam atau binaan masa kini yang tak terpisah dari roh peradaban lalu di Malaysia banyak tertumpu kepada ciri-ciri khas binaannya seperti aspek bumbung, kubah, menara, mimbar dan mihrab.

Di samping itu, binaan masjid/surau juga terpancar dari hal-hal yang dampak hasil dari kehalusan presentasi keindahan yang telah disampaikan lalu dapat terzahir pada sekelian hiasan dan ornamen yang digantung dipelbagai bucu, sudut, ruang dan serambinya.

Ini sering menyentuh aspek seni ukir dan seni khat yang melambangkan kehalusan seni budaya Melayu di alam nusantara, cerita beliau.

Namun, masjid atau surau ini dimusnahkan begitu sahaja dengan menggunakan jentolak.