Bekas AJK Puteri Umno Malaysia bakal diumum Ketua Srikandi Bersatu

Bekas AJK Puteri Umno Malaysia bakal diumum Ketua Srikandi Bersatu

Bekas Ahli Jawatankuasa Pergerakan Puteri Umno Malaysia Rina Mohd Harun bakal  diumum sebagai Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),  5 April depan.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pergerakan Puteri Umno Malaysia Rina Mohd Harun bakal  diumum sebagai Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 5 April depan.

 Perkara ini disahkan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun dalam sidang media selepas  Mesyuarat  Pimpinan Tertinggi parti itu semalam, beliau enggan menamakan bakal Ketua Srikandi parti itu.

Namun desas-desus mengenai usahawan wanita muda ini yang bakal  mengetuai Srikandi   sudah tersebar di kalangan ahli parti sejak beberapa bulan lalu kerana  Rina sudahpun menjalankan tugasnya untuk menyenaraikan barisan Exco Srikandi di peringkat pusat dan negeri.

Seperti kata Muhyiddin, beliau telah menjalankan tugas menamakan sesiapa yang sesuai untuk membarisi ahli exco Srikandi pusat.

“Ahli Srikandi sebahagian sudah tahu  (ketua ) atas sebab tertentu kita umumkan  dengan pelantikan seluruh negeri… kita akan beritahu kemudian,” ujarnya.

Rina (gambar) turut kelihatan di ibu pejabat Bersatu selepas dipercayai turut menghadiri mesyuarat pimpinan tertinggi parti  itu semalam.

Rina adalah bekas Ketua Puteri Umno Bahagian Sepang (2004-2007) dan pernah menang bertanding bagi kerusi AJK Pergerakan Puteri (2009-2011) juga dilantik mengetuai Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Puteri.

Menurut sumber, Rina juga bakal dilantik Ketua Srikandi Negeri Selangor dan Ketua Srikandi Bahagian Sepang.

Kontroversi timbul bagi jawatan Ketua Srikandi Bersatu apabila Anina Saadudin, salah seorang pengasas dan penggerak awal parti itu, tidak dilantik ke jawatan tersebut sebaliknya diumumkan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Anina SaadudinPada 25 Mac lalu, Anina di laman facebooknya menulis perkembangan terbaru yang bakal membawa khabar gembira kepada semua penyokong Bersatu kerana Ketua Srikandi yang baharu bakal diumumkan dalam masa terdekat.

“Untuk Srikandi PPBM, anda tahu bahawa sayap Srikandi itu begitu dekat di hati saya. Sebagai satu-satunya pengasas parti dari kalangan wanita sudah pastilah saya sangat berkehendakkan supaya sayap yang saya usulkan sendiri untuk ditukarkan namanya sebagai sayap Srikandi ini akan terbang tinggi menjadi tulang belakang PPBM bagi menempuh PRU14.

“Saya penuh percaya bahawa Ketua Sayap baharu ini serta barisan kepimpinannya di peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan akan menjadi nadi kekuatan utama segala jentera parti pada PRU14 nanti.

“Yakinlah bahawa pucuk pimpinan parti cukup arif dalam menganalisa ciri-ciri serta kredibiliti Ketua Srikandi PPBM,” ujar Anina yang berpesan agar semua ahli dalam parti itu memberikan taat setia serta sokongan kepada bakal Ketua Srikandi yang akan diumumkan nanti walaupun tidak didedahkan nama Ketua Srikandi itu.

Salah seorang Ahli MPT Bersatu yang ditemui juga tidak menafikan bahawa Rina  bakal diumumkan untuk menerajui Srikandi Bersatu.

TAGS