Bekas angkasawan AS hadiri Program Dialog Pangkor  2017

Bekas angkasawan AS hadiri Program Dialog Pangkor 2017

Kehadiran bekas angkasawan wanita Amerika Syarikat (AS) yang juga pakar kimia, Dr Catherine Cady Coleman sebagai seorang penceramah utama menjadi satu daripada daya tarikan pada program Dialog Pangkor 2017, pada 11 dan 12 September ini.

Coleman, 57, dijangka menceritakan pengalamannya tinggal dalam kapal angkasa di angkasa lepas selama kira-kira enam bulan termasuk terbang mengelilingi bumi sebanyak 256 kali membabitkan perjalanan berjuta-juta kilometer.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Dr Mazalan Kamis, berkata beliau sendiri menghubungi Coleman yang menyatakan perasaan teruja untuk berkongsi pengalaman dan datang buat pertama kali ke rantau ini.

“Beliau ada menceritakan pengalamannya mengemudikan sebuah kapal angkasa yang kecil dan ketika melihat ke luar, kelihatan bumi begitu kecil dan seolah-olah dalam keadaan terapung, sama seperti kapal angkasa dinaikinya,” katanya pada sidang media hari inilaporBH online.

Mazalan berkata, penceramah lain termasuk pakar neurologi dan pemegang rekod dunia marathon Paralampik, Dr William Tan, dari Singapura, yang banyak memberi inspirasi kepada Orang Kurang Upaya (OKU) dan bekas Presiden Ecuador, Jorje Jamil Mahuat Witt.

Katanya, penceramah utama lain ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Datuk Bandar Oklahoma, AS, Mick Cornett, yang berjaya melakukan transformasi terhadap bandar raya Oklahoma sehingga menjadi daya tarikan kepada golongan muda dan pengasas Honeybee Network India, Prof Dr Anil K Gupta.

Mazalan berkata, secara keseluruhan sebanyak 80 kertas kerja dibentangkan membabitkan 10 subtema iaitu ekonomi, pembangunan insan, alam sekitar, inovasi dan keusahawanan, perumahan, belia, penuaan dan pembangunan, wakaf, wanita dan pembangunan serantau, sepanjang dua hari program itu.

Beliau berkata, Dialog Pangkor kali keempat itu bertemakan ‘Memacu Masa Hadapan: Landasan Inovatif Ke Arah Pembangunan Mapan’ yang dijangka dihadiri kira-kira 1,200 orang dari lebih 30 negara.

CATEGORIES
TAGS