Bekas arkitek jual nasi kerabu di Kota London, berjaya raih pendapatan lebih RM2 juta setahun!

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, sebuah keluarga boleh meraih pendapatan lumayan melebihi RM2 juta setahun dengan menjual makanan tempatan termasuk nasi kerabu di Kota London.

Perkara itu didedahkan oleh peniaga yang membuka gerainya di taman awam Victoria Park, London, United Kingdom ketika ditemu bual oleh pemilik akaun TikTok, @christhechindian.

Berdasarkan rakaman yang turut dikongsikan di platform TikTok, gerai dinamakan ‘Eat Lah’ itu beroperasi dengan membuka khemah berwarna biru di sebuah taman awam tumpuan ramai.

Difahamkan, perniagaan keluarga yang mula beroperasi sejak 2019 itu baru tercetus selepas pengusaha makanan berkenaan mengambil keputusan untuk berhenti kerja setelah 10 tahun bertugas sebagai arkitek.

Peniaga itu juga mengakui berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk proses memperkenalkan makanan dan menarik masyarakat tempatan kepada hidangan Malaysia termasuk nasi kerabu yang agak memakan masa.

“Ketika itu, saya rasa sudah hilang minat di dalam bidang arkitek. Sebab itulah saya memulakan perniagaan Nasi Kerabu. Kebetulan saya juga dibesarkan keluarga di dapur (persekitaran penyediaan makanan).

“Sejujurnya, kami ambil masa juga bagi memperkenalkan makanan yang dijual kepada masyarakat tempatan lebih lagi bukan semua tahu tentang nasi berwarna biru ini,” katanya dalam rakaman itu.

Dalam perkongsian yang sama, peniaga berkenaan juga mendedahkan bahawa pendapatan diperoleh menerusi penjualan makanan itu boleh menjangkau £400,000 (pound) atau RM2,244,772.22 dalam tempoh setahun.

Sekadar info, peniaga berbangsa Cina itu menjalankan perniagaan tersebut bersama bapanya yang merupakan seorang imigran dan isterinya iaitu rakyat Malaysia berasal dari Kelantan.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna TikTok merasa tumpang berbangga apabila makanan tempatan terutamanya nasi kerabu itu turut diminati oleh masyarakat luar.

Ramai juga pengguna berkongsi pandangan bahawa penjualan nasi kerabu tersebut sekali gus telah mempromosikan Malaysia di mata dunia selain mendoakan agar perniagaan itu terus berkembang maju di Kota London.

Baca juga: “Ingat ni zaman batu ke” – Netizen pelik wanita siap ajar anak mencuri, lupa ada CCTV