Malaysia Dateline

Bekas calon AMANAH cerita beza sikap Mujahid dengan menteri agama sekarang

Susulan tersebar video Menteri Agama ke Arab Sudi yang didakwa bersama individu dari syarikat ‘travel’ haji, bekas calon AMANAH, Azhar Abdul Shukur menceritakan bagaimana permohonan beliau sendiri pernah ditolak ketika meminta pertolongan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof untuk mendapatkan visa khas haji bagi syarikatnya.

Azhar (gambar) yang pernah bertanding di Parlimen Sungai Besar berkata, ketika itu beliau berkecil hati kerana Mujahid yang rapat dengannya, menolak permohonan beliau untuk mendapatkan Visa Furada untuk syarikat pelancongan umrahnya.

Untuk rekod, Furada adalah visa haji yang dikeluarkan oleh Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur secara terus kepada jemaah haji yang terpilih. Visa khas ini tidak dikeluarkan melalui pengurusan Lembaga Tabung Haji Malaysia (TH).

Beliau mengakui ‘geram’ tetapi menyatakan bahawa itu adalah nilai sebuah integriti kerana Mujahid yang sewaktu itu Menteri Agama menolak segala hal yang boleh dikira seperti ‘berniagakan haji’

“Saya ada syarikat pelancongan yang menguruskan umrah. Datuk Seri Dr Mujahid Yusof amat rapat dengan saya. Begitu juga Abang Ahmad Kerdee, setiausaha politik beliau semasa menjadi Menteri Agama.

“Pada tahun 2019, saya memohon pertolongan mereka untuk mendapatkan Visa Furada bagi syarikat pelancongan saya.

“Jawapan yang saya terima: ‘Kami tak berniagakan haji’. Geram juga tapi itu nilai sebuah intergriti,” katanya dalam satu coretan Facebooknya selepas tular di media sosial apabila Menteri Agama dilihat bersama beberapa individu dari syarikat pelancongan menaiki jet peribadi ke Saudi Arabia untuk urusan perbincangan haji dan umrah.

Azhar juga menceritakan bahawa Mujahid pernah menolak untuk menghadiri satu majlis berkaitan jemaah haji selepas mengetahui ada unsur perniagaan di dalam program tersebut.

Kerana itulah katanya, beliau terus bersama di dalam AMANAH dan sehingga hari ini masih merupakan tulang belakang kepada satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipimpin Mujahid.

“Pernah Mujahid bagi tahu saya… ‘ada satu syarikat travel menjemput beliau ke satu majlis untuk buat ‘pelepasan’ kepada jemaah haji tapi bila diketahui ada unsur perniagaan, selaku Menteri Agama beliau tidak pergi.

“Atas semua itu, saya tetap bersama mereka di dalam Parti AMANAH Negara.

“Kenapa saya cerita peristiwa ini. Sajalah sebab baru-baru ini dalam satu rakaman video yang tersebar luas, kelihatan beberapa ‘tokey syarikat travel’ berada bersama orang penting dalam sebuah kenderaan mewah,” katanya lagi.