Malaysia Dateline

Bekas calon kerusi DUN Selangor PRU-13 dalang utama kes culik, bunuh

Ahli politik bergelar Datuk yang pernah menjadi calon Dewan Undangan Undangan (DUN) di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), dipercayai menjadi dalang utama kes culik seorang ahli perniagaan.

Suspek bersekongkol dengan seorang peguam untuk melakukan penculikan itu bersama dua lagi suspek ketika mangsa sedang berjoging bersendirian pada 10 Jun lalu.

Ketiga-tiga suspek menghampiri mangsa dan mendakwa mereka adalah anggota polis sebelum memaksa mangsa masuk ke dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) kira-kira jam 10.30 pagi pada hari kejadian, lapor BH.

“Selepas diculik, mangsa dibawa bertemu dengan dalang utama sebelum disembunyikan di beberapa lokasi termasuk sebuah rumah teres di Taman Kosaso, Rawang,” kata sumber itu.

Mayat ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang juga seorang pemaju hartanah itu ditemui di kawasan belukar di Batu 27 Jalan Rawang, Bestari Jaya dekat sini, semalam.

Polis telah menahan tujuh lelaki termasuk seorang warga Bangladesh berusia antara 30-an hingga 50-an.