Malaysia Dateline

Bekas calon PKR dituduh subahat culik pemaju hartanah

Bekas calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, Datuk K Ramachandran dituduh atas kesalahan bersubahat menculik seorang ahli perniagaan Datuk Seri R Arumugam, 55.

Mayat mangsa yang juga pemaju hartanah ditemui sudah reput di kawasan belukar di Batu 27, Jalan Rawang Bestari Jaya pada 27 Jun lalu selepas 18 hari diculik.

Arumugam diculik dengan niat untuk menahan mangsa bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah 50 juta dolar Singapura (RM153 juta).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Kejiranan Central Spine, Jalan Margosa, Bandar Sri Damansara, di sini, jam 10.30 pagi, 10 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, Ramachandran didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati, juga boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, Ramachandran merupakan bekas Timbalan Ketua Cabang PKR Hulu Selangor.

Lima lagi lelaki turut dituduh atas kesalahan bersubahat menculik mangsa sama, dengan tujuan mendapatkan wang serupa.

Mereka terbabit ialah Azhari Shahrom Shaihmi, 56; Mohd Durai Abdullah, 52; Sheikh Ismail Sheikh Hassan, 26; N Vickneswarar, 28, dan seorang warga Bangladesh, Kasi Nasrul, 42.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abd Hamid. Dalam prosiding itu hanya seorang tertuduh iaitu Ramachandran diwakili peguam, R Sivaraj.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap semua tertuduh.

Mahkamah menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan semula kes.