Malaysia Dateline

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak

Bekas CEO beritahu mahkamah 1MDB ditubuh untuk salur wang kepada Umno

1MDB yang ditubuhkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyalurkan wang kepada syarikat yang berkaitan dengan Umno.

Perkara itu dimaklumkan oleh Bekas CEO 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menjadi saksi pendakwaan kesepuluh berkata demikian ketika pemeriksaan balas perbicaraan kes rasuah 1MDB terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Memetik laporan Malaysiakini, Hazem mendakwa dana daripada 1MDB digunakan untuk membantu kontraktor yang ada kaitan dengan parti itu dalam projek mega Tun Razak Exchange (TRX).

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan daripada peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee mengajukan soalan berkenaan bahagian dalam pernyataan saksi yang mana Hazem mendakwa ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, memberitahunya yang syarikat itu ditubuhkan untuk membantu Umno.

Hazem menyertai 1MDB sebagai ketua pegawai operasi pada 2012 dan dilantik sebagai CEO pada 2013.

Dalam perbicaraan hari ini, Hazem memberitahu mahkamah bahawa Najib adalah bos tertingginya (ultimate bos).

Hazem turut memberitahu bahawa dia tidak akan menerima tawaran sebagai CEO jika mengetahui apa yang berlaku dalam 1MDB ketika itu.