Bekas CEO Proton Tengku Mahaleel sertai majlis Amanah

Bekas CEO Proton Tengku Mahaleel sertai majlis Amanah

 

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff membuat penampilan khas di majlis anjuran Amanah Kelantan di sebuah kedai makan, dekat Kota Bharu pagi ini.

Beliau yang turut memberikan ucapan di majlis dekat Tanjung Chat itu atas jemputan Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Turut berucap di majlis itu adalah Datuk Husam Musa, penasihat Amanah Kelantan.

Bekas orang nombor 1 di Proton, Shell dan Nestle Malaysia itu berucap kira-kira setengah jam bagi menyatakan pandangan beliau tentang masa depan negeri Kelantan dan apa yang perlu diberikan perhatian.

“Rakyat nak kerajaan yang jaga kepentingan ekonomi. Rakyat nak kan pekerjaan,” kata beliau yang sejak 10 tahun lalu kembali tinggal di Bachok bersama penduduk kampung di sana.

Menurut Tengku Mahalel, 71 tahun, kini terdapat kira-kira 300,000 rakyat Kelantan yang berhijrah keluar dari negeri itu untuk mencari pekerjaan.

Beliau mencadangkan agar kerajaan membina banyak sekolah kemahiran sekarang berbanding dengan membina universiti.

“Dunia sekarang memerlukan kemahiran bukan pemikir. Negara kita sekarang mempunyai 200,000 graduan yang menganggur,” katanya.

Menurut beliau, kelebihan orang Kelantan adalah mereka bijak. Sebab itu mereka boleh meningkat naik di tempat pekerjaan mereka dengan cepat.

Namun, akibat dari penghijrahan ini telah menimbulkan kesan negatif kepada ramai rakyat Kelantan.

Antaranya masalah sosial yang berlaku akibat dari penghijrahan keluar ini.

“Lebih 50 % penceraian di Kelatan berlaku di kalangan pasangan yang berusia di bawah 30 tahun,” katanya yang meminta usaha dibuat untuk menyediakan peluang pekerjaan di negeri ini.