Bekas CEO TH Heavy Engineering Bhd didakwa pecah amanah RM2.5juta

Bekas CEO TH Heavy Engineering Bhd didakwa pecah amanah RM2.5juta

Bekas ketua pegawai eksekutif TH Heavy Engineering Bhd iaitu anak syarikat Tabung Haji, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM2.5 juta, empat tahun lalu.

Datuk Nor Badli Munawir Mohamad Alias Lafti, 51, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

“Saya mohon dibicarakan,” katanya yang kelihatan tenang selepas jurubahasa mahkamah membacakan setiap pertuduhan terhadapnya.

Tertuduh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TH Heavy Engineering Bhd yang diamanahkan dengan suatu harta iaitu lima keping cek Maybank berjumlah RM400,000; RM570,000; RM430,000; RM600,000 dan RM575,800 yang keseluruhannya berjumlah RM2,575,800 telah melakukan pecah amanah terhadap harta itu.

Kesemua cek dikeluarkan pada 2013 dengan satu masing-masing bertarikh 30 April, 9 Sept dan 30 Okt, sementara dua cek bertarikh 26 Jun.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Pejabat THHE Fabricators Sdn Bhd, Tingkat 23, Tower B, Menara UOA Bangsar, No 5, Jalan Bangsar Utama 1, di sini antara April dan Okt 2013.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya S. Thangavelu menawarkan wang jaminan RM2.5 juta bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Kitson Foong yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan ianya terlalu tinggi dan mencadangkan wang jaminan RM200,000 untuk kesemua pertuduhan.

“Tertuduh bukanlah ‘flight risk’ (orang yang berisiko untuk melarikan diri), dia ada enam orang anak. Tertuduh juga memberi kerjasama baik sepanjang siasatan,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM400,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin serta perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes itu selesai.

Mahkamah menetapkan 15 Mac untuk sebutan semula kes.

TAGS