Malaysia Dateline

Bekas finalis Da’i Pendakwah Nusantara terima Anugerah Perdana Yayasan Pelajaran Peladang

Penerima Anugerah Perdana Yayasan Pelajaran Peladang dirai hari ini.

“Ibu dan ayah adalah motivasi saya. Mereka berdua sentiasa memberikan sokongan yang kuat untuk saya mencapai kejayaan.”

Demikian kata-kata daripada Wan Nuraini Wan Rosdi, 25, graduan Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa (Kepujian) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.89 dalam sesi pengajiannya yang lalu.

Wan Nuraini yang juga merupakan finalis Da’i Pendakwah Nusantara Musim Ke-4 (2016) menyifatkan Anugerah Perdana Yayasan Pelajaran Peladang yang diterimanya hari ini sebagai sesuatu yang tidak disangka.

“Ibu dan bapa adalah motivasi terdekat dalam saya meraih kejayaan ini. Syukur alhamdulillah atas rezeki dan kejayaan yang telah dicapai. Semua ini adalah berkat doa daripada orang sekeliling.

“Ketika ini saya sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Perundangan Syariah di USIM dan saya merancang untuk menamatkan pengajian sehingga ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Saya juga bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah satu hari nanti,” katanya yang akan menggunakan wang berjumlah RM4,000 itu untuk membiayai kos pengajian beliau.

Seorang lagi penerima anugerah berkenaan yang memperoleh CGPA 3.96 , Muhammad Faez Mohd Kamaruzaman, 26, berkata minat yang mendalam terhadap jurusan yang diambilnya antara resepi untuk beliau melakar kejayaan.

“Kita kalau buat sesuatu perkara itu, kena minat dan rajin. Saya belajar rajin-rajin demi untuk membalas jasa ibu dan bapa saya.

“Duit yang saya terima hasil daripada anugerah ini akan digunakan untuk membantu mak ayah dan meneruskan hidup saya,” katanya yang kini bekerja sebagai jurutera di Felda Global Ventures (FGV) Holdings Berhad.

Bagi Nur Hidayah Yusoff, 27, yang juga penerima anugerah sama menyifatkan, rezeki kemenangan itu tidak disangka kerana beliau bukan daripada bidang pertanian.

“Saya daripada bidang perguruan sebenarnya. Ini pun ayah yang banyak membantu sebab dia ahli peladang,” katanya kepada pemberita.

Penerima tempat pertama, Muhammad Faez merupakan graduan dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000.

Muhammad Faez dari Selangor merupakan anak kepada ahli peladang Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Hulu Selangor.

Penerima kedua iaitu Wan Nuraini Wan Rosdi, graduan Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa (Kepujian) dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membawa pulang wang tunai berjumlah RM4,000.

Wan Nuraini dari Negeri Sembilan yang mendapat keputusan CGPA 3.89 merupakan anak kepada ahli peladang PPK Sri Kelana Lenggeng.

Penerima tempat ketiga, Nur Hidayah Yusoff, anak kepada ahli peladang PPK Kuala Kangsar dari Perak, pula membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000

Nur Hidayah merupakan graduan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan memperoleh CGPA 3.87 dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling).

Majlis anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Zainal Azman Abu Seman di dewan Ibu Pejabat Nafas, Kota Damansara, hari ini.