Malaysia Dateline

Bekas gitaris kumpulan Ukays disahkan pemimpin kanan militan Daish

Empat rakyat Malaysia kini bergelar pemimpin kanan kumpulan militan Daish. Dua daripada mereka adalah bekas gitaris kumpulan Ukays iaitu Akel Zainal (gambar) dan bekas pengikut kanan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) Mohd Rafi Udin.

Selain itu, dua lagi individu yang hanya dikenali sebagai Abu Gomez dan Abu Zar mempunyai peranan penting menyebarkan propaganda dan meneruskan usaha pengkaderan di Asia Tenggara.

Akel Zainal atau nama sebenarnya Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin, 39, menyertai gerakan militan Daish sejak tercetusnya konflik di Syria beberapa tahun lalu.

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, selepas kematian Ketua Militan Malaysia berpangkalan di Syria iaitu Muhamad Wanndy Mohamad Jedi, Julai lalu, empat individu itu banyak menguruskan pengkaderan anggota baru.

“Mereka menyebarkan propaganda termasuk dakyah ideologi radikal menerusi pelbagai platform termasuk bahan bacaan.

“Kita semua tahu majalah propaganda Daish iaitu Dabiq boleh dimuat turun menerusi capaian Internet dan medium itu digunakan untuk mempengaruhi orang lain supaya menyertai perjuangan mereka.

“Selain itu, ideologi mereka disebarkan menerusi aplikasi telekomunikasi seperti Telegram. Berdasarkan beberapa siri tangkapan diakukan juga membuktikan aplikasi itu digunakan secara meluas,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Ayob Khan berkata, pergerakan mereka terbatas apabila ramai pemimpin utama Daish terkorban termasuk beberapa individu dari Indonesia.

“Individu penting membabitkan rakyat Indonesia dalam pengkaderan iaitu Bahrun Naim terkorban begitu juga Muhamad Wanndy.

“Biarpun kita tahu ancaman kumpulan militan ini semakin berkurangan, polis sentiasa memantau kegiatan mereka dan kini mereka memberi fokus serangan di luar kawasan konflik,” katanya.