Bekas guru Kemas kecewa tidak dihargai Umno-BN Kedah

Mohd Khairizal ketika menziarahi Melor dikediaman beliau kelmarin.

Walaupun telah menjadi penyokong tegar kepada Umno dan BN sehingga sanggup menjadi guru Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat) selama 31 tahun, kini khidmat Melor binti Noor seolah-olah tidak pernah dikenang.

Beliau yang kini hanya terpaksa mengharapkan kerusi roda untuk bergerak setelah diserang angin ahmar sejak tujuh tahun yang lalu amat kecewa dengan layanan dari pihak jabatan tersebut.

Menurut beliau lagi, selama 31 tahun beliau berkhidmat dengan Kemas setiap program berkaitan dengan Umno menjadi satu kewajiban untuk dilaksanakan.

“Mereka arah ke mana sahaja, sukar untuk dibantah kerana telah begitu sebati dengan Umno.

“Selama 31 tahun berkhidmat bukannya satu tempoh yang singkat.

“Tapi setelah tidak dipedulikan termasuklah kerusi roda pun mesti dibeli sendiri, sedangkan pendapatan tidak tetap,” jelasnya sayu.

Kata Melor lagi, suaminya Mansor Saad adalah penyokong Umno yang pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) selama sepenggal sejak 2008 yang lalu.

Namun begitu khidmatnya juga tidak pernah dikenang sehingga kini.

Melor binti Noor

Manakala Penyelaras AMANAH Parlimen Padang Terap, Mohd Khairizal Khazali ketika menziarahi Melor dan keluarganya di Kampung Perik, Paya Terap, Padang Terap turut simpati dengan nasib yang menimpa keluarga tersebut.

Malah katanya, adalah tidak wajar bagi Umno dan kerajaan negeri tidak mempedulikan Melor yang telah sanggup mencurahkan khidmatnya begitu lama kepada kerajaan, sebalikya tidak dipedulikan.

“Tindakan Umno yang umpama ‘habis madu sepah dibuang’ adalah amalan biasa bagi sebuah parti yang mempunyai muslihat dan kepentingan.

“Sepatutnya jasa yang dicurahkan begitu lama oleh Melor kepada jabatan tersebut diberi perhatian.

“Takkanlah untuk memberikan sebuah kerusi roda pun tidak boleh dilakukan oleh Adun Kuala Nerang dan Ahli Parlimen Padang Terap,” ujarnya.

Tambah Khairizal lagi, sekiranya kepada ahli Umno yang telah berkhidmat selama 31 tahun pun mereka tidak pedulikan ketika hidup melarat, apa lagi hendak diharapkan kepada Umno dan BN sebagai sebuah kerajaan negeri.

Lebih parah lagi katanya, Melor juga terpaksa menghabiskan banyak wang untuk rawatan perubatan dan keperluan hidup yang lain.

“Sehingga kini sama ada Adun maupun Ahli Parlimen tak pernah menjenguk maupun bertanya khabar.

“Tak tau lah mungkin dekat pilihan raya umum nanti wakil rakyat tersebut akan menjenguk setelah lima tahun tidak pernah nampak muka.

“Bagaimana pun saya sedih kerana segala sumbangan isteri tidak dihargai walaupun telah 31 tahun menghambakan diri sebagai guru Kemas di Kedah,” kata suaminya Mansor Saad.

COMMENTS

Wordpress (0)