Malaysia Dateline

Aminolhuda Hassan yang pernah mengajar Zulfarhan di English College mengunjungi keluarga Allahyarham di Johor Bahru semalam

Bekas guru luah rasa sedih kematian Zulfarhan

Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor merakam ucapan takziah kepada keluarga mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Penuntut berusia 21 tahun itu meninggal dunia di Hospital Serdang pada Khamis malam dipercayai akibat didera.

Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan meluahkan rasa dukacita dengan berita yang diterima apatah lagi ia berlaku pada hari dan bulan yang baik bagi umat Islam.

Beliau yang pernah mengajar Zulfarhan di English College semasa Allahyarham di tingkatan satu hingga tingkatan tiga berkata, kematian Zulfarhan adalah perkara yang begitu sedih kerana pemergian beliau dalam suasana keluarga Zulfarhan sedang membuat persiapan awal menyambut kehadiran Aidilfitri.

“Saya berasa dukacita dengan kehilangan adik Zulfarhan yang berlaku pada hari dan bulan yang penuh dengan barakah ini, serta sekaligus ia menyentuh sifat kebapaan yang ada pada saya dengan mendalam.

“Lebih menyedihkan lagi, perkara ini berlaku apabila keluarga Allahyarham sudah membuat persiapan awal bagi menyambut kehadiran Aidilfitri yang menjadi lambang hari besar untuk umat Islam seluruh dunia dalam mengeratkan silaturrahim,” katanya yang ditemui ketika menziarahi keluarga mangsa di Johor Baharu semalam.

Ibu Zulfarhan menunjukkan baju melayu Allahyarham yang sudah siap ditempah untuk dipakai pada hari raya nanti

Sehubungan itu, Aminolhuda menggesa siasatan dijalankan segera dan pihak dipercayai mendera Zulfarhan untuk diambil tindakan kerana melakukan perbuatan yang salah dan tidak berperikemanusiaan sehingga menyebabkan kematian.

Aminolhuda berkata lagi, pihak universiti dan menteri pertahanan sepatutnya lebih peka dengan kewujudan kes buli atau dera yang berlaku di universiti berkenaan agar bukan hanya kes yang melibatkan pelajar tahun tiga itu sahaja yang dikenal pasti, tetapi meneliti kemungkinan adanya pelajar lain yang mungkin turut didera.

“Tindakan dari segi perudangan perlu diambil dengan cara yang betul supaya apa yang berlaku terhadap adik Zulfarhan ini akan menjadi pengajaran pada mereka yang terbabit dalam penderaan.

“Sesiapa pun akan menolak serta mengatakan tidak pada kes pembulian dan penderaan seperti ini. Adalah menjadi tanggungjawab pihak universiti dan kementerian pertahanan Malaysia untuk menyiasat lebih lanjut andai wujud unsur-unsur penderaan di institusi tersebut yang melibatkan penuntut lain agar perkara yang menimpa adik Zulfarhan tidak akan berulang.

“Penderaan perlu dibasmi sepenuhnya di semua institusi pendidikan kita melalui perancangan dan tindakan tegas yang berbentuk sistematik dan proaktif, bukan pragmatik dan reaktif semata-mata. Pelajar perlu dididik sedari awal untuk menyelesaikan semua masalah dan persoalan melalui bentuk tindakan orang terpelajar dan bertamadun tinggi”, ujarnya lagi.